Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MENUMBOK: Kerajaan Persekutuan meluluskan peluasan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan peniaga dan syarikat kecil yang berdaftar sebagai milikan tunggal menikmati kemudahan kad fleet dengan kuota 300 liter sebulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian mengenal pasti terdapat peniaga kecil terkesan dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel kerana tidak memenuhi syarat asal skim berkenaan.

Beliau berkata, ketika SKDS dilaksanakan pada 1 Julai lalu, permohonan kad berkenaan terhad kepada kenderaan didaftarkan atas nama individu dan kenderaan perniagaan atau syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas kegunaan pengangkutan barangan pengguna.

“Bagaimanapun, terdapat kontraktor dan peniaga kecil di Sabah yang menggunakan kenderaan diesel bagi menjalankan perniagaan, kenderaan itu didaftarkan atas nama syarikat dan bukannya individu.

“Ia menyebabkan mereka tidak layak di bawah kategori asal SKDS walaupun menggunakan diesel untuk tujuan perniagaan,” katanya selepas melancarkan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, di sini hari ini.

Armizan berkata, kementeriannya membawa isu terbabit ke perhatian Jemaah Menteri berpandukan data sistem MySikap kendalian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, Kabinet kemudian meluluskan peluasan skim itu serta-merta bagi membolehkan syarikat kecil berdaftar sebagai milikan tunggal, menerima kuota 300 liter diesel bersubsidi sebulan melalui kad fleetwalaupun kenderaan didaftarkan atas nama syarikat.

“Ini membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia menambah baik mekanisme pelaksanaan asalkan kita mempunyai data yang tepat bagi memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah itu juga mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel tidak membebankan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan diesel bagi menjalankan operasi harian.

Katanya, KPDN akan terus memantau pelaksanaan skim berkenaan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan dasar subsidi bersasar dapat dilaksanakan secara lebih adil dan berkesan.-BH Online