Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 286 permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) atau 96 peratus daripada keseluruhan 298 permohonan untuk dokumen itu bagi tempoh 2022 hingga 31 Mei 2026 diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).null

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata bagi permohonan daftar lewat kelahiran dalam kalangan masyarakat India pula, sebanyak 3,117 permohonan diterima dengan 90.1 peratus atau 2,810 daripadanya sudah diluluskan manakala 251 lagi masih dalam proses.

“Bagi permohonan kewarganegaraan, sebanyak 1,018 permohonan sudah direkod. Daripada jumlah tersebut, 503 permohonan atau 49.4 peratus masih lagi dalam proses, manakala 141 permohonan atau 13.9 peratus telah diluluskan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) berhubung status dokumentasi dan pemilikan kad pengenalan dalam kalangan masyarakat India.

Mengulas mengenai kelulusan kewarganegaraan, Shamsul Anuar berkata statistik lulus merujuk kepada permohonan yang sudah mendapat keputusan serta sijil kewarganegaraan yang dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.

“Walaupun suatu permohonan diluluskan di peringkat KDN (Kementerian Dalam Negeri), ia masih akan terekod sebagai dalam proses dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dimohon, dicetak, atau diserahkan kepada pemohon,” katanya.

Bagi menangani masalah dokumentasi di kawasan pedalaman, Shamsul Anuar berkata JPN mengambil langkah proaktif melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dengan menghantar pegawai ke lapangan bagi memastikan rakyat yang menghadapi kekangan akses tidak ketinggalan daripada mendapat dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, KDN tidak melantik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai orang tengah dalam urusan permohonan di JPN kerana semua proses tertakluk di bawah peruntukan undang-undang.

Menjawab soalan tambahan, Sivakumar mengenai punca utama pendaftaran lewat kelahiran, beliau berkata JPN mengenal pasti beberapa faktor, antaranya sikap kurang kesedaran ibu bapa untuk mendaftar kelahiran anak dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu 60 hari bagi Semenanjung dan 42 hari bagi Sabah dan Sarawak. -BH Online