Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

Malaysia perlu mempercepat peralihan daripada sekadar hab pembuatan semikonduktor kepada negara yang memiliki teknologi, harta intelek (IP) dan produk sendiri bagi memastikan lebih banyak nilai ekonomi kekal dalam negara.null

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kejayaan industri semikonduktor negara selepas ini tidak lagi boleh diukur berdasarkan kapasiti pengeluaran atau jumlah pelaburan yang diterima semata-mata, sebaliknya kemampuan menghasilkan inovasi, mengkomersialkan teknologi serta melahirkan syarikat tempatan bertaraf global.

Beliau berkata, Malaysia selama lebih lima dekad berjaya membina reputasi kukuh dalam aktiviti pemasangan, ujian, pembungkusan serta pembuatan berketepatan tinggi, namun perubahan landskap industri global kini menuntut negara bergerak ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai.

“Persoalannya bukan lagi sama ada Malaysia mampu menyertai industri semikonduktor kerana kita telah membuktikannya sejak lebih 50 tahun lalu.

“Apa yang lebih penting ialah sama ada kita mampu menangkap lebih banyak nilai dan memastikan manfaat itu kekal dalam syarikat, bakat serta keupayaan tempatan.

“Peralihan rantaian nilai sebenar ialah daripada kapasiti kepada keupayaan, daripada pengeluaran kontrak kepada penciptaan produk, dan akhirnya daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Elektrik dan Elektronik (E&E) The Edge-HSBC 2026 bertemakan The Value Chain Shift: Scaling Talent, Capital and Capability Up the Chip Ladder, di sini, hari ini.

Akmal berkata, perubahan kitaran teknologi global yang dipacu kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran termaju, pusat data dan perkhidmatan digital membuka ruang baharu kepada Malaysia untuk meningkatkan kedudukan dalam industri semikonduktor.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia serta menyumbang kira-kira 13 peratus kepada aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan global menjadi asas kukuh untuk negara melonjak ke segmen bernilai lebih tinggi.

Namun katanya, syarikat global kini tidak lagi memilih destinasi pelaburan berdasarkan kos operasi semata-mata, sebaliknya turut menilai faktor seperti keselamatan tenaga, bekalan air, kecekapan logistik, kepastian dasar, kedalaman bakat serta keupayaan kerajaan menyelesaikan isu dengan pantas.

“Malaysia perlu bersaing bukan sekadar sebagai lokasi pembuatan, tetapi sebagai rakan teknologi dan inovasi.

“Ini memerlukan negara memperkukuh keupayaan dalam pembungkusan maju, reka bentuk litar bersepadu (IC), peralatan semikonduktor, bahan, automasi serta pembangunan harta intelek milik syarikat Malaysia,” katanya.

Akmal berkata, kepimpinan teknologi masa depan tidak lagi diukur berdasarkan jumlah kilang yang dimiliki sesebuah negara, tetapi sejauh mana negara itu mampu mencipta pengetahuan baharu, mengkomersialkan inovasi dan mengekalkan nilai ekonomi dalam negara.

Beliau berkata, sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional perlu diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur seperti pertambahan produk dikomersialkan, paten baharu, pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan syarikat tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama strategik Malaysia dengan Arm Holdings turut menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan negara dalam reka bentuk cip, AI dan pemilikan IP.

Sehingga kini, katanya, enam akses teknologi Arm telah ditawarkan kepada empat syarikat Malaysia, manakala 1,530 peserta telah menjalani latihan di bawah inisiatif berkenaan setakat 3 Julai lalu.

“Bagaimanapun, akses kepada teknologi hanyalah permulaan. Kejayaan sebenar ialah apabila ia menghasilkan prototaip, pengkomersialan, pekerjaan berkemahiran tinggi, kerjasama industri yang lebih kukuh serta lebih banyak harta intelek dimiliki syarikat Malaysia,” katanya.

Akmal berkata, kejayaan Malaysia mendaki rantaian nilai cip akhirnya bergantung kepada keupayaan semua pihak melaksanakan dasar dengan berkesan, termasuk kerajaan, industri, institusi kewangan, universiti dan syarikat tempatan.

“Apabila Malaysia berjaya melakukannya, kita bukan sahaja akan terus menjadi pemain penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global, malah muncul sebagai negara yang mencipta teknologi, meningkatkan produktiviti, menawarkan gaji lebih tinggi dan membina kemakmuran yang lebih mampan kepada rakyat,” katanya. -BH Online