SLOT khas Biar Betul! akan ditayangkan di siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Ahad ini bagi menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, objektif slot khas itu adalah untuk memberi pencerahan kepada rakyat mengenai sebaran berita palsu dan fitnah yang mencetuskan rasa panik di kalangan masyarakat.
Beliau mengaitkan laporan fitnah yang tular baru-baru ini mengenai isu kononnya caj di klinik kesihatan bakal naik sehingga mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
“Ia sebenarnya dinafikan oleh Kementerian Kesihatan sendiri semalam tetapi ramai warganet masih percaya dengan lebih 2.8 juta tontonan melalui aplikasi TikTok,” katanya dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, RTM pernah menyiarkan slot Pastikan Sahih menerusi saluran Berita RTM sejak 2020 lalu dalam usaha memerangi penyebaran berita palsu sebagai sokongan kepada portal Sebenarnya.My yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Menjelaskan mengenainya, Fahmi berkata, kerjasama inisiatif itu juga melibatkan pihak suruhanjaya tersebut dan portal MyCheck.My diselia Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“KKD bertekad banteras penularan fitnah melalui pelbagai platform media dan menyeru rakyat sentiasa memastikan maklumat diterima adalah daripada sumber sahih,” katanya.
Menyentuh mengenai slot Biar Betul!, Fahmi berkata, ia bakal disiar setiap hari selama seminit sejurus slot Kanta 744 di saluran TV1 dan Berita RTM sebelum Berita Perdana dan diulang siar menerusi kesemua wadah media sosial termasuk stesen-stesen radio dikendalikan RTM.
Dalam pada itu, Fahmi memohon kerjasama masyarakat jika menerima sebarang informasi meragukan agar melapor segera kepada pihak SKMM melalui portal https://aduan.skmm.gov.my atau talian 1-800-188-030 selain mesej ringkas telefon iaitu SKMM ADUAN diikuti butiran sebelum dihantar kepada 15888.
Aduan juga boleh dibuat melalui e-mel rasmi aduanskmm@mcmc.gov.my atau mesej aplikasi Whatsapp 016-2206262. -Media Perpaduan