Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BELANJAWAN 2024 akan memperkasa sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri Kewangan (MOF) Steven Sim Chee Keong berkata, sektor itu menjadi tumpuan kementeriannya supaya dapat bersaing dalam ekonomi baharu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini, akan bersandarkan pada kerangka MADANI dengan memberi fokus kepada nilai pembangunan serta pekerjaan dalam sektor PMKS.

“Hal ini adalah kerana PMKS merupakan antara pemacu utama ekonomi dengan kadar pertumbuhan dan peluang pekerjaan selain sektor tersebut paling terkesan terutama pada masa pandemik COVID-19.

“Oleh itu, kita perlu membina semula PMKS, keduanya kita juga nak membantu sektor tersebut meningkatkan rantaian nilai… menaikkan siling supaya PMKS kita boleh bersaing bukan sahaja di Malaysia tetapi global dalam ekonomi baharu, digital, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Tayangan Dokumentari dan Pengumuman Penerima Manfaat Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia di ibu negara, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Chee Keong berkata, proses merancang belanjawan kali ini menerima sambutan paling ramai dengan membabitkan sebanyak 8,000 maklum balas secara bersemuka dan 11,000 menerusi portal kementerian.

“Apa yang kita mahu adalah Belanjawan 2024 ini boleh mencerminkan aspirasi semua lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira kaum, agama, jantina dan negeri, di mana kita jelajah semua negeri untuk mendapat pandangan daripada semua pihak,” katanya. -Media Perpaduan