Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN negeri disaran untuk membangunkan kawasan penanaman padi di negeri masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,
terdapat beberapa negeri yang berpotensi dibangunkan tanaman padi iaitu Sabah dan Sarawak, selain kawasan sawah terbiar di Negeri Sembilan, serta mencari jalan terbaik untuk meningkatkan sistem pengairan untuk tanaman tersebut.

Jelasnya, langkah itu juga memerlukan kerjasama pelbagai kementerian termasuk KPKM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Hal padi dan beras ini bukan tanggungjawab individu, dia tanggungjawab seluruh negara, sekuriti makanan ni semuanya kena terlibat termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, swasta dan pengusaha. Ia masalah negara dan dunia, semua kena tumpu ke arah mengurangkan bebanan ini.

“Tanah ialah kuasa kerajaan negeri dan mesti mereka bekerjasama, tak kiralah dia pembangkang ke pemerintah ke, soal makanan ini, takda (isu) pembangkang tak perlu makan, pemerintah tak perlu makan, kerana semuanya perlu.

“Di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), kita bantu sistem pengairan supaya dapat buat padi lima musim dua tahun. Tapi tak bolehlah lancarkan tahun ini, tahun depan akan berjaya, ambil masa sekurang-kurangnya tiga, empat tahun dari sekarang,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Pemasar Agro Madani (Khidmad) 2023 di Port Dickson, semalam.

Mengenai program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT), Mohamad berkata, stok BPT akan ditingkatkan ke setiap negeri kepada 1,100 metrik tan sebulan, bagi memenuhi keperluan orang ramai dengan penambahan kepada 5,000 pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), terutama di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

Justeru, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik, kerana bekalan BPT masih mencukupi dan belum menggunakan stok kecemasan, selain BPT itu akan dihantar ke pasar raya supaya tidak tertumpu di pusat jualan Fama dan Lembaga Pertubuhan Peladang. -Media Perpaduan