Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 FELCRA Bhd berjumlah RM126.9 juta.
Ahmad Zahid berkata, agihan keuntungan tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 72,000 peserta di seluruh negara.
“Agihan ini akan disalurkan secara berperingkat kepada lebih 72,000 peserta di seluruh Malaysia, melibatkan 747 buah projek yang mencatatkan keuntungan,” katanya dalam ucapan perasmian sempena dengan Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Bhd, Mohamed Ismi Abdul Majid, berkata agihan keuntungan interim pertama tahun ini meningkat 7.6 peratus kepada RM126.9 juta berbanding RM117 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, agihan itu diharap dapat membantu meningkatkan kesejahteraan peserta, khususnya dalam menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Pihak FELCRA berharap agihan keuntungan ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan peserta. Ramai anak peserta kini dapat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, jadi dengan adanya keuntungan ini bolehlah mereka gunakan untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Mohamed Ismi berkata, peningkatan hasil pengeluaran serta penurunan kos operasi berbanding tahun lalu merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan agihan keuntungan tersebut.
Beliau berkata, purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tempoh Januari hingga April tahun ini mencatatkan RM4,367 satu tan berbanding RM4,600 satu tan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun harga MSM menurun, keuntungan masih meningkat berikutan kos operasi berjaya dikurangkan sebanyak 12 peratus. Selain itu, jumlah projek yang menerima agihan keuntungan turut meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, agihan Interim 1 meliputi keuntungan bagi tempoh Januari hingga April dan pembayaran dibuat mulai bulan ini, manakala agihan Interim 2 yang meliputi tempoh Mei hingga Ogos dijadualkan dibayar pada November selepas proses penutupan akaun pada September.-BERNAMA
