Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Cadangan penggubalan Akta Ombudsman kini berada pada peringkat akhir sebelum dibawa ke Jemaah Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, rang undang-undang (RUU) berkenaan sudah sedia dibentangkan kepada Kabinet sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi kerajaan.

Katanya, draf RUU itu penting untuk mendapat kelulusan Kabinet segera bagi membolehkan ia dibentangkan di Dewan Rakyat seawal mungkin, walaupun menyedari penjawat awam kurang senang atau tidak bersetuju dengan penubuhan Ombudsman.

“Saya percaya banyak kerajaan negeri tak setuju dengan (penubuhan) Ombudsman. Berapa orang suka ditegur? Sebab itu Ahli Parlimen yang kena buat undang-undang ini.

“Mereka (kakitangan kerajaan) tak nak diri disoal. Sebagai (yang bekerja dalam perkhidmatan) kerajaan, mereka boleh diturun pangkat, tetapi tak boleh (sukar) dipecat.

“Saya merasakan (penubuhan) Ombudsman itu bagus untuk rakyat, tetapi tak bagus untuk kerajaan. Apa pun, kita sudah bersedia membawanya kepada Kabinet untuk pembentangan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Cadangan mewujudkan Ombudsman antara agenda reformasi institusi yang sedang diusahakan Kerajaan MADANI bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan akauntabiliti pentadbiran awam.

Melalui inisiatif itu, ia menyediakan saluran bebas untuk orang ramai mengemukakan aduan terhadap salah laku atau kelemahan agensi kerajaan, sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam mengukuhkan lagi kewibawaan sektor awam.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Ombudsman adalah alternatif kepada saluran aduan bebas rakyat untuk mengemukakan aduan berkaitan salah tadbir dalam institusi awam.

Beliau berkata, Ombudsman bukan bertujuan mengambil alih atau menduplikasi fungsi agensi penguatkuasaan, sebaliknya peranannya adalah untuk memperkukuh tadbir urus melalui pengenalpastian kelemahan sistemik, mengemukakan syor penambahbaikan dan menggalakkan amalan pentadbiran yang lebih baik.

“Melalui pendekatan ini, Ombudsman Malaysia bukan saja akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam, malah turut membantu penjawat awam menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. -BH Online