Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LABUAN: LABUAN, 5 Julai (Bernama) — Penggunaan pelbagai dadah sintetik di negara ini amat membimbangkan apabila bahan berkenaan merangkumi 83 peratus daripada kes penyalahgunaan dadah yang direkodkan, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata kes selebihnya membabitkan dadah seperti kanabis dan heroin, manakala methamphetamine kekal sebagai jenis dadah sintetik paling banyak disalahgunakan.

“AADK juga sedang memantau trend baharu yang melibatkan fentanil,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dan Kampung Aspirasi Bebas Dadah di Dataran Kampung Belukut, di sini hari ini.

Fentanil ialah sejenis opioid sintetik yang sangat kuat, iaitu 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin.

Ruslin berkata strip ujian yang dimiliki AADK mampu mengesan beberapa bahan termasuk perangsang jenis amfetamina, iaitu metamfetamina, fentanil, AB-PINACA, kokain dan ketamin.

Ujian air kencing juga akan dijalankan semula ke atas individu yang menjalani pemulihan bagi mengenal pasti jenis dadah spesifik yang telah diambil, termasuk fentanil.

Ruslin berkata AADK turut bimbang terhadap penyalahgunaan dadah melalui rokok elektronik dan peranti vape.

Justeru, usaha tidak hanya perlu tertumpu kepada penguatkuasaan dan kawalan bekalan, tetapi juga pengurangan permintaan kerana jika permintaan dapat dikurangkan, bekalan juga boleh  diminimumkan. 

Sementara itu, beliau berkata Labuan kini mempunyai 268 penagih dadah yang sedang menjalani proses pemulihan, dengan 91.6 peratus daripadanya lelaki dan selebihnya wanita.

Untuk tahun 2026, dadah jenis amfetamina merangkumi 98.5 peratus kes penyalahgunaan dadah di Labuan.– BERNAMA