Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan untuk memperluaskan siasatan berhubung kehilangan ahli perniagaan, Pamela Ling termasuk sama ada membabitkan siasatan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bergantung kepada bukti baharu atau arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan yang diserahkan kepada DPP pada 24 April lalu masih dalam semakan dan polis belum menerima sebarang arahan lanjut.

“Berhubung sama ada SPRM turut disiasat, fokus utama polis ketika ini adalah untuk mendapatkan fakta dan mengenal pasti sebarang unsur jenayah berdasarkan bukti yang kukuh serta keterangan saksi.

“Memandangkan kertas siasatan masih dalam semakan DPP, sebarang tindakan lanjut atau peluasan skop siasatan untuk membabitkan mana-mana pihak hanya akan diputuskan sekiranya terdapat bukti baharu atau berdasarkan arahan dan penelitian lanjut daripada DPP,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai status siasatan kehilangan Ling dan sama ada SPRM turut disiasat berhubung kes itu.

Saifuddin berkata, polis sudah menjalankan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut, termasuk meneliti semua petunjuk yang ada dan merakam keterangan daripada pihak berkaitan bagi melengkapkan kronologi kejadian.

Ling yang juga seorang ibu terbabit dalam pertikaian sivil berkaitan pemilikan saham dan prosiding perceraian ketika dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada Januari 2025.

Beliau ditahan, direman dan kemudian dibebaskan dengan jaminan berserta syarat melapor diri serta larangan ke luar negara, yang dipatuhinya sepenuhnya.Wanita itu dilaporkan hilang pada 9 April 2025, beberapa ketika sebelum menghadiri temu janji di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau dipercayai diculik ketika menaiki sebuah kenderaan e-hailing dan polis kemudian memaklumkan lima kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai terbabit dalam penculikan itu.

Sebelum kehilangannya, Ling sudah memfailkan semakan kehakiman terhadap SPRM dengan mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa, penahanan yang menyalahi undang-undang dan pelanggaran hak perlembagaannya.

Pada Jun tahun lalu, polis dilapor merakam keterangan daripada 49 individu, termasuk suami dan anak-anaknya, namun siasatan masih belum menemui petunjuk baharu. -BH Online