KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Kementerian Pengangkutan bagi pelaksanaan Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama, khusus kepada pemandu teksi.
Peruntukan tambahan RM10 juta itu diumumkan sempena Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional, di sini, yang menyaksikan pemandu teksi diberi kemudahan pembiayaan kereta baharu, Proton S70.
Perdana Menteri berkata, melalui inisiatif teksi MADANI, ia mampu melonjakkan pendapatan bersih pemandu daripada RM5,000 hingga RM7,000 melalui pengurangan kos pembaikan dan penyelenggaraan, serta kemudahan pinjaman.
Katanya, selain itu Perdana Menteri berkata, kerajaan juga berusaha memberikan permit teksi terus kepada pihak pengendali, berbanding syarikat besar sebelum ini.
“Daripada dulu kalau saudara lihat, ucapan saya di Parlimen, di antara isu saya bangkitkan, mengapa permit teksi diberi kepada orang kaya dan diharapkan pemandu mendapatkan rezeki yang halal.
“Mengapa tidak boleh permit diberi langsung kepada pemandu supaya dia jadi pemilik. Ini isu dibangkitkan puluhan tahun. Kerajaan sekarang mengatakan permit patut diberi bagi yang mampu mengendalikan,” katanya berucap pada majlis itu, di sini, hari ini.
Terdahulu, pada majlis itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam ucapannya memohon peruntukan tambahan RM10 juta bagi pelaksanaan geran padanan terbabit.
Ia berikutan geran padanan berjumlah RM10 juta yang dilaksanakan tahun ini sudah habis digunakan dalam tempoh tiga bulan. -BH Online

