Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu terus berinteraksi dengan semua pihak di Myanmar bagi memastikan proses mencapai perdamaian di negara itu dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, proaktif dan pragmatik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu akan membabitkan pihak berkuasa di Naypyidaw, parti politik pembangkang, kumpulan bersenjata etnik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Beliau berkata, dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu, Filipina, baru-baru ini, pemimpin ASEAN membincangkan sama ada usaha yang dilaksanakan boleh diperkasa dengan pendekatan yang lebih berani dan lebih kreatif. 

“Sesuatu yang perlu ditegaskan, proses penyelesaian politik yang muktamad di Myanmar mesti dimiliki dan diterajui negara itu sendiri, bukan sesuatu yang dipaksa pihak luar.

“Proses ini sememangnya akan mengambil masa yang panjang dan dalam hal ini, keutamaan ASEAN akan terus menjadi faktor penting dalam memperkukuh iltizam bersama untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini, hari ini.

Minggu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia menitikberatkan pendekatan yang terangkum dalam menangani isu Myanmar, membabitkan semua pihak berkepentingan dan tidak hanya tertumpu kepada pihak tertentu saja. 

Mohamad turut menegaskan, Malaysia tidak pernah mengiktiraf kerajaan baharu Myanmar selepas pilihan raya yang diadakan junta tentera negara itu bermula Disember tahun lalu, sebaliknya bertindak mengekalkan saluran komunikasi dan meneruskan momentum yang dijalankan sewaktu kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun lalu, termasuk melalui lawatan ke Myanmar.

Sementara itu, berhubung konflik antara Thailand dan Kemboja, Perdana Menteri yakin dengan komitmen pemimpin negara itu untuk mencapai keamanan yang berkekalan. 

“Kita mesti menangani setiap isu dengan jelas dan penuh keyakinan, secara terbuka apabila sesuai dan secara berhemah serta tertutup apabila perlu.

“Kita perlu sentiasa berusaha mengekalkan kesatuan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan memperkukuh kerjasama sebaik yang boleh, dengan rakan dialog yang berkongsi aspirasi serta pendirian sama,” katanya. -BH Online