KUALA LUMPUR: Setiap sekolah di seluruh negara akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) terlatih di bawah langkah baharu yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh pengurusan risiko serta meningkatkan keselamatan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata inisiatif itu sebahagian daripada Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Sekolah dan Dasar Perlindungan Murid yang dilancarkan pada 11 Jun lalu.
Beliau berkata aspek audit dan pemantauan terutama ke atas struktur bangunan serta infrastruktur di pekarangan sekolah sentiasa diperkukuh bagi mewujudkan suasana kondusif untuk warga fasiliti berkenaan.
Selain membabitkan jawatankuasa khusus, pelaksanaan keseluruhan aspek itu turut mendapat sokongan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Ini untuk memastikan agensi dan organisasi ini mempunyai pandangan, selain menetapkan pelaksanaan semua agenda bagi memantau dan memperkukuh ekosistem selamat di sekolah.
“Kepakaran NIOSH pula bagi memastikan isu berkaitan (keselamatan) bangunan, longkang dan kebakaran.
“Mereka juga memberi latihan dan bimbingan sepenuhnya untuk memastikan di peringkat sekolah ada penyelaras keselamatan diwujudkan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tahap keselamatan bangunan dan infrastruktur di sekolah bagi memastikan persekitaran fasiliti itu kekal selamat dan bebas risiko kemalangan.
Menjawab soalan asal, Fadhlina berkata, KPM sentiasa meletakkan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan murid sebagai keutamaan dalam pengurusan seluruh institusi pendidikan kendaliannya.
Komitmen itu, katanya dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi lima fokus iaitu pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi dan penguatkuasaan, disokong kerjasama strategik rentas kementerian dan agensi berkaitan.
“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM dan Dasar Perlindungan Murid Sekolah dilancarkan 11 Jun lalu rujukan utama bagi seluruh institusi pendidikan bagi memperkukuh keselamatan fizikal, sosial dan emosi murid melalui pelbagai langkah, selain penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan. pada Ogos 2025.
Tangani gejala buli
“Jawatankuasa ini berperanan meneliti, menambah baik dan memperkukuh dasar mekanisme serta pelaksanaan langkah keselamatan di institusi pendidikan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
“Tahap keselamatan sekolah dinilai secara berterusan, selain ia akan dilaksanakan melalui sokongan berfokus daripada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah, jika memerlukan bimbingan,” katanya.
Mengenai gejala buli, Fadhlina berkata KPM mempunyai mekanisme jelas melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2023 yang sedang dikemas kini, selaras kuat kuasa Akta Anti-Buli 2026, mulai 16 Jun lalu.
“Ia akan menjadi kerangka perundangan baharu bagi menangani buli secara lebih tegas dan tersusun, selain Jawatankuasa Disiplin Sekolah diperkasa manakala portal aduan buli disediakan sebagai saluran aduan selamat dan mesra kanak-kanak.
“KPM turut memperkenalkan program ‘SAFE’ (School Anti-Bullying Framework for Empowerment), menekankan psikopendikan melalui empat pendekatan iaitu pencegahan, perkembangan, pemulihan dan pengurusan krisis,” katanya. -BH Online
