GEORGETOWN: Karya tinggalan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee kekal sebagai warisan budaya dan memori kolektif sebagai tapak integrasi nasional dalam memperkukuh rasa kebersamaan masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata sumbangan besar tokoh seni berbakat besar itu bukan sekadar hiburan sebaliknya menjadi bahasa kemanusiaan merentasi sempadan kaum, agama dan budaya.
“Legasi beliau bukan sekadar koleksi filem dan lagu tetapi suatu warisan budaya, suatu memori kolektif yang membentuk kesedaran sejarah dan jati diri dengan nilai dibawa oleh karya beliau melangkaui zaman kerana berteraskan kemanusiaan sejagat.
“Dalam konteks Malaysia yang majmuk, seni memupuk empati, menyemai rasa memiliki dan mempertemukan kepelbagaian dalam satu naratif kebangsaan yang menjadi asas kepada perpaduan serta jati diri negara,” katanya.
Beliau berucap sempena Minggu Kenangan P Ramlee 2026: Sepanjang Riwayatku dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P Ramlee dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Beliau menegaskan, Allahyarham P Ramlee yang dilahirkan pada 1929 di Pulau Pinang telah menghasilkan karya malar segar yang bukan sahaja mencorakkan landskap seni tanah air, malah mengangkat nilai kemanusiaan dan perpaduan.
Aaron turut menyatakan komitmen berterusan kerajaan melalui penubuhan dua institusi khas, iaitu Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang dan Pustaka Peringatan P Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur.
“Rumah Kelahiran P Ramlee dibina pada 1926 oleh bapa dan bapa saudara Allahyarham, Rejab Husin dan institusi itu kini mempamerkan ruang kediaman asal serta riwayat hidup beliau sewaktu di Pulau Pinang.
“Sementara itu, Pustaka Peringatan P Ramlee pula berfungsi menghimpunkan pelbagai koleksi berharga termasuk bahan biografi, anugerah, artifak, kostum, memorabilia serta pameran berkaitan Biduanita Negara, Puan Sri Saloma,” katanya. -BH Online

