KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik amalan dwistandard dalam pematuhan terhadap norma dan undang-undang antarabangsa susulan sesetengah negara bebas mengabaikan undang-undang itu, sedangkan negara lain tertakluk kepada standard pematuhan paling ketat.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sendiri melalui pengalaman sedemikian apabila penghantaran peluru berpandu antikapal (NSM) yang ditempah, dibatalkan secara unilateral oleh pembekal dari Norway walaupun hampir keseluruhan pembayaran sudah dibuat.
Beliau menegaskan, insiden seumpama itu menunjukkan berlakunya kemerosotan semakin ketara dan bersifat sistematik terhadap penghormatan kepada norma serta undang-undang antarabangsa.
Katanya, kekuatan semakin dianggap sebagai penentu kebenaran, manakala kepentingan nasional yang sempit dijadikan keutamaan, walaupun terpaksa mengorbankan kesucian dan kewajipan undang-undang yang terkandung dalam sesuatu kontrak antarabangsa.
“Pendirian Malaysia dalam perkara ini, sama ada kepada syarikat berkenaan atau kerajaan Norway, amat jelas.
null
“Walaupun Malaysia akan terus mendapatkan penyelesaian melalui saluran diplomatik dan perundangan, episod ini mencerminkan suatu masalah yang lebih besar serta trend yang membimbangkan, iaitu amalan dwistandard oleh pihak yang mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang, selain sikap hipokrit mereka yang memilih untuk berdiam diri apabila pelanggaran sedemikian berlaku.
“Apakah boleh diterima jika sesetengah negara bebas mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa, sedangkan negara lain pula tertakluk kepada standard pematuhan yang paling ketat?
“Jika inilah cara rakan di Barat memilih untuk melayan negara di Selatan Global dan jika prinsip “satu peraturan untuk kami, satu lagi untuk kamu” benar-benar menjadi norma yang ingin diketengahkan, maka keadaan ini tidak memberikan petanda yang baik terhadap masa depan hubungan kita sebagai rakan kongsi dan sahabat yang setara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini, hari ini.
Mei lalu, kerajaan Norway dilapor membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan keputusan itu, Menteri Pertahanan Norway, Tore O Sandvik menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan berkenaan, namun Malaysia tetap meneruskan tindakan saman ke atas pembekal NSM itu yang berpangkalan di Norway.
Mengulas isu berkenaan ketika sesi soal jawab, Perdana Menteri mengakui ia memberi kesan kepada hubungan Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), dan beliau sendiri menghantar surat kepada pemimpin EU bagi mempersoalkan cara layanan itu.
Perdana Menteri berkata, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menghubungi beliau, menyatakan bahawa ia bukan pendirian EU, malah Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni turut menyatakan pendirian sama, diikuti pemimpin Jerman.
“Justeru, saya berpendapat tidak adil untuk kita membuat tanggapan umum, namun adakah tindakan itu wajar? Tiada sebarang alasan diberikan.
“Saya juga berbincang dengan Perdana Menteri (Norway), menyatakan ia berkaitan pertimbangan keselamatan (yang dibangkitkan negara itu). Apa kaitan isu keselamatan dalam hal ini? Adakah anda fikir kami menjual peluru berpandu ini kepada Al-Qaeda?” katanya.
Perdana Menteri berkata, Amerika Syarikat (AS) turut menjelaskan, ia tidak mempengaruhi atau memberi tekanan kepada Norway untuk membatalkan perjanjian itu dengan Malaysia.-BH Online
