Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk menggunakan semula tapak loji janakuasa arang batu yang akan ditamatkan operasi kepada hab tenaga boleh baharu (TBB) dan kemudahan penyimpanan tenaga bateri di bawah Rangka Kerja Penggunaan Semula Tapak Arang Batu Kebangsaan yang dicadangkan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata loji arang batu sedia ada di negara ini adalah infrastruktur nasional penting, termasuk sambungan rangkaian penghantaran elektrik, kemudahan industri serta tanah di lokasi yang strategik.

“Daripada membiarkan aset ini terbengkalai, kita perlu melihatnya sebagai peluang untuk mewujudkan nilai ekonomi baharu.

“Tapak yang dikenal pasti berpotensi kukuh untuk ditukar menjadi hab TBB, kemudahan penyimpanan tenaga bateri serta pembangunan tenaga bersih lain yang terus menyumbang kepada ekonomi tempatan dan pada masa sama menyokong objektif peralihan tenaga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Forum Ekonomi Dunia Malaysia’s Energy Future: Power Sector Decarbonisation Deep Dive, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerangka cadangan itu, yang digariskan dalam kertas pandangan dasar Forum Ekonomi Dunia bertajuk Beyond Coal: Building a Flexible, Resilient and Clean Power System for Malaysia, akan menjadi asas kepada libat urus berterusan antara kerajaan, pengawal selia, utiliti, pelabur dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, setiap loji janakuasa yang ditamatkan operasi membuka peluang untuk mewujudkan industri baharu, menarik pelaburan serta menyediakan tenaga kerja bagi ekonomi masa hadapan.

Fadillah berkata, Malaysia kekal komited terhadap sasarannya untuk tidak membina loji janakuasa arang batu baharu, beralih sepenuhnya daripada penjanaan elektrik berasaskan arang batu menjelang 2044 serta mencapai 70 peratus kapasiti TBB terpasang menjelang 2050.

Beliau berkata, penggunaan TBB perlu dilaksanakan lebih awal daripada penutupan loji arang batu.

“Ini perkara penting yang perlu diberikan tumpuan. Jika penggunaan TBB tidak berkembang dengan cepat, terdapat risiko bahawa pergantungan kepada arang batu akan diganti dengan pergantungan yang lebih tinggi kepada gas asli cecair yang diimport.

“Keadaan ini sekali gus mendedahkan Malaysia kepada ketidaktentuan harga bahan api dan ketidakpastian geopolitik luaran. Peralihan yang berjaya perlu mengurangkan kebergantungan, bukan sekadar mengubahnya daripada satu bahan api import kepada bahan api import yang lain,” katanya.

Bagi menyokong peralihan itu, beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air terus memberikan keutamaan kepada pembangunan tenaga solar berskala besar, Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat, sistem penyimpanan tenaga bateri serta pemodenan grid pintar.

Mengenai kerjasama serantau, Fadillah mengulangi komitmen Malaysia untuk memajukan Grid Tenaga ASEAN dan memperluas perdagangan elektrik rentas sempadan bagi memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memudahkan integrasi TBB yang lebih meluas.

Beliau berkata, negara akan terus meneroka pilihan tenaga rendah karbon jangka panjang termasuk teknologi nuklear termaju dan reaktor modular kecil dan pada masa sama memastikan aspek keselamatan, tadbir urus yang kukuh, kesiapsiagaan kawal selia dan keyakinan orang ramai kekal sebagai keutamaan.-BERNAMA