PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan Kajian Lelaki Budiman Negara mulai bulan ini bagi merangka dasar dan inisiatif dalam pemerkasaan lelaki yang berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan dilaksanakan selama 18 bulan dalam melahirkan golongan lelaki yang berdaya tahan, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan negara.
“Pemerkasaan lelaki perlu dilihat dalam kerangka yang lebih menyeluruh, bukan sekadar dari aspek kepimpinan atau ekonomi, tetapi merangkumi kekuatan jiwa, kestabilan emosi, kematangan pemikiran serta keupayaan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.
“Dalam usaha ini, nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni perlu dijadikan asas pembentukan Lelaki Budiman dalam masyarakat MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, golongan lelaki hari ini, khususnya bapa muda, berdepan cabaran semakin kompleks, selain kos sara hidup dan komitmen kewangan yang menuntut mereka mengimbangi tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab.
“Ramai juga yang bergelut untuk menyesuaikan diri sebagai ketua keluarga tanpa sokongan yang mencukupi. Cabaran-cabaran ini menuntut lelaki bukan sahaja cekal dari segi fizikal, malah mempunyai daya tahan emosi, kemahiran keibubapaan dan kesejahteraan mental yang baik,” katanya.
Beliau berkata, statistik Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki adalah hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita, manakala Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan 4.6 peratus penduduk berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, termasuk golongan lelaki.
“Pada masa sama, tekanan ekonomi terus memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga. Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan hutang isi rumah berada pada paras 84.3 peratus daripada KDNK, manakala statistik perceraian meningkat 4.1 peratus kepada 60,457 kes pada tahun 2024.
“Tekanan kewangan, kegagalan mengurus nafkah serta konflik rumah tangga yang berpanjangan turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keretakan institusi keluarga,” katanya.
Katanya, kebimbangan itu diperkuatkan lagi dengan statistik kes keganasan rumah tangga yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia pada Januari hingga Disember tahun alu yang mencatatkan bahawa 95 peratus pelaku adalah lelaki berbanding lima peratus adalah wanita.
Justeru, beliau berkata, pemerkasaan lelaki tidak boleh dilihat hanya daripada sudut ekonomi atau peranan sebagai pencari nafkah semata-mata.
Ia perlu merangkumi pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental dan emosi, literasi keibubapaan, kemahiran pengurusan kewangan serta jaringan sokongan sosial yang kukuh.-BH Online
