Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dijadualkan berlepas ke Tehran, esok, bagi mewakili Malaysia ke upacara pengebumian jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa beliau menerima jemputan untuk menghadiri upacara berkenaan, namun tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen tugas.

“Bagi upacara pengebumian Khamenei di Tehran, kita akan menghantar Menteri Pertanian untuk mewakili negara,” katanya pada sesi soal jawab sempena Meja Bulat Asia-Pasifik ke-37, di sini, hari ini.

Khamenei, 86, terkorban di kediamannya di tengah Tehran pada 28 Februari lalu akibat serangan bersama dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Maqam Imam Reza di Mashhad pada 9 Julai ini selepas siri upacara penghormatan terakhir dan perarakan jenazah yang berlangsung di Tehran serta Qom.

Majlis penghormatan terakhir Allahyarham dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 4 Julai ini.

Upacara pengebumian itu pada asalnya dijadualkan pada Mac lalu, namun ditangguhkan akibat peperangan. – BH Online