Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tadbir urus korporat yang baik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pematuhan terhadap peraturan, sebaliknya perlu menjadi budaya dalam setiap lembaga pengarah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata lembaga pengarah yang berkesan perlu berani memberikan pandangan secara bebas, mencabar andaian yang terlalu optimistik, menilai risiko secara objektif dan memastikan keputusan syarikat mengambil kira kepentingan jangka panjang, bukan sekadar prestasi suku tahunan.

Menurutnya, dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks, ahli lembaga pengarah juga perlu memiliki pemahaman yang lebih meluas merangkumi aspek ekonomi, geopolitik, teknologi, perubahan iklim, rantaian bekalan serta perkembangan pasaran antarabangsa.

Justeru, katanya, pembaharuan lembaga pengarah disifatkan sebagai keperluan strategik bagi meningkatkan daya tahan syarikat, dengan menggabungkan pengalaman pengarah sedia ada dan perspektif baharu daripada generasi kepimpinan akan datang.

Dari aspek kemampanan pula, beliau menjelaskan, pelabur kini lebih memberi perhatian kepada keupayaan syarikat melaksanakan pelan peralihan yang mempunyai sumber pembiayaan kukuh serta mampu menjana pulangan, berbanding hanya menghasilkan laporan yang menarik di atas kertas.

null

“Pembaharuan lembaga pengarah bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi soal membina daya tahan. Malaysia memerlukan kebijaksanaan pengarah yang berpengalaman di samping kesediaan barisan pengarah baharu untuk memimpin.

“Kematangan yang sama juga diperlukan dalam agenda kemampanan. Pelabur mahu mengetahui sama ada pelan peralihan benar-benar mempunyai pembiayaan yang mencukupi serta mampu menjana pulangan, dan bukannya sekadar kelihatan baik di atas kertas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Persidangan Tadbir Urus Korporat IICM 2026, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, lembaga pengarah yang menjadikan tadbir urus sebagai satu disiplin akan membina syarikat yang diyakini, sama ada ketika berkembang pesat mahupun ketika berdepan krisis.

Beliau berkata, lembaga pengarah menetapkan disiplin organisasi, pelabur institusi menyediakan modal dan keyakinan, manakala syarikat membalas kepercayaan itu melalui prestasi yang lebih kukuh serta amalan tadbir urus yang lebih baik.

“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia memikul tanggungjawab yang amat penting dalam hal ini. Peraturan yang jelas, penguatkuasaan yang tegas dan pelaksanaan yang konsisten adalah asas yang mengubah keyakinan kepada sesuatu yang benar-benar boleh diyakini oleh pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi menyarankan lembaga pengarah dan syarikat perlu memberi tumpuan kepada usaha mencipta nilai, menyampaikan nilai itu dengan jelas serta bertanggungjawab dalam memastikan ia benar-benar direalisasikan.

Beliau berkata, pelabur institusi pula perlu memainkan peranan sebagai pemegang amanah modal secara aktif, berinteraksi secara konstruktif dengan syarikat, memberi ganjaran kepada prestasi yang cemerlang serta berani mencabar prestasi yang lemah apabila diperlukan.

“Sesebuah syarikat tidak secara automatik layak menjadi destinasi pelaburan, sebaliknya kelayakan itu perlu diraih melalui prestasi yang kukuh, disiplin, kepercayaan serta usaha bersama semua pihak yang berkepentingan dalam pasaran modal.

“Seperti dalam permainan bola sepak, kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerja berpasukan. Oleh itu, setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing agar kita dapat bersama-sama membina pasaran modal yang lebih dinamik, inklusif, mampan dan berdaya tarikan kepada pelabur,” katanya. -BH Online