KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memperhalusi pelbagai pilihan dalam perolehan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) termasuk platform pesawat tempur generasi 4.5 dan generasi kelima.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penilaian ini mengambil kira keperluan operasi, keberkesanan misi, kebolehselenggaraan, interoperabiliti, kos kitar hayat serta nilai strategik.
“Penilaian ini bagi memastikan pilihan yang dibuat mampu memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara untuk jangka masa panjang,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai status terkini perancangan penggantian pesawat F/A-18 Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pilihan alternatif dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta implikasinya terhadap kesiapsiagaan pertahanan udara negara.
Masa depan MRCA milik TUDM selepas 2035 semakin menjadi perhatian kerana negara bakal berdepan beberapa perubahan penting dalam landskap pertahanan udara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris sebelum ini mengakui kajian untuk penggantian serta penambahan pesawat tempur ringan (LCA) dan MRCA sudah bermula, namun keputusan sama ada Malaysia perlu memilih pesawat generasi 4.5, generasi kelima atau generasi keenam masih menjadi satu persoalan besar yang perlu dinilai.
Menurut beliau, perancangan menjelang 2035 dibuat berdasarkan jangka hayat pesawat, integriti struktur, kebolehselenggaraan dan sokongan kelengkapan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan kementerian sedang menilai untuk mempercepat perolehan MRCA yang sebelum ini dirancang untuk dipertimbangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14).
Bagaimanapun, katanya penilaian untuk diawalkan pelaksanaan perolehan itu di bawah RMK13 tertakluk kepada pertimbangan kerajaan dan kedudukan kewangan semasa.
Mengenai F/A-18D Hornet, beliau menegaskan pesawat sedia ada masih dalam keadaan operasi yang baik hasil pelaksanaan program penyelenggaraan, pembaikan dan peningkatan keupayaan secara berterusan.
Justeru, katanya pesawat ini dijangka dapat terus memenuhi keperluan operasi TUDM sehingga keputusan mengenai penggantian aset dimuktamadkan.
“Kesiapsiagaan pertahanan udara negara tidak terjejas kerana TUDM terus mengekalkan keupayaan operasi pesawat sedia ada, sementara perancangan penggantian dilaksanakan secara berfasa dan berhemah,” katanya.-BH Online
