Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri selepas kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 9 malam ini, kerjasama BN-PN mendahului 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN mendahului di semua 21 kerusi DUN yang ditandinginya, PN di tiga daripada lima kerusi ditandingi manakala PH mendahului hanya di empat kerusi.

PN menerusi calonnya, Ridzuan Sarif, dari PAS, berjaya merampas DUN Bukit Katil disandang bekas Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dalam saingan turut ditandingi BERSAMA dan Bebas.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Alor Gajah, menjadi ADUN di situ selama dua penggal sejak 2018 dan ketua menteri antara 2018 hingga 2020.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dicadangkan terus menerajui Melaka sebagai Ketua Menteri mengekalkan kerusi DUN Tanjung Bidara selepas memperoleh 9,953 undi untuk mendahului pencabarnya daripada PH, Mohd Yunazri Mustamiri (1,064) dalam pertandingan satu lawan satu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Salleh pula mendahului di DUN Merlimau dengan 11,705 undi meninggalkan pencabar tunggal dari PH, Ayu Hamzah.

Calon popular BN, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendahului selesa di DUN Duyong 15,064 undi meninggalkan pencabar, Poo Long Suan dari PH yang menerima 4,997 undi.

Sementara itu, PH mengekalkan empat kerusi disandang wakil DAP iaitu Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh, hilang satu kerusi berbanding PRN ke-15 iaitu DUN Bukit Katil.

PKR tewas semua 10 kerusi 

PKR tewas di semua 10 kerusi ditandingi, begitu juga BERSATU kalah di semua lapan kerusi dan AMANAH di semua tujuh kerusi.

Pengerusi BERSATU Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad kecundang di DUN Klebang kepada penyandang dari BN, Datuk Wira Lim Ban Hong yang juga Naib Pengerusi MCA Pusat.

Calon paling muda dari PH, Mohamad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 25, pula gagal di DUN Kuala Linggi apabila hanya meraih 2,870 undi berbanding calon BN, Datuk Rosli Abdullah (7,684).

Calon paling tua, Kapten (B) Mohamad Jaafar, 66, tewas di DUN Telok Mas kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin mendahului selesa di DUN Sungai Udang, namun Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin ketinggalan di DUN Paya Rumput kepada calon PN.

PRN Melaka menyaksikan 70.59 peratus daripada 687,697 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dalam proses pengundian bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Terdahulu, pada Selasa lalu, 94.96 peratus daripada 12,531 pengundi awal terdiri daripada warga polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mereka.-BH Online