JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan pihak sekolah melaksanakan intervensi segera terhadap pelajar yang dikenal pasti menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terus terpelihara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selain peranan pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memberikan sokongan kepada anak masing-masing dalam mendepani isu berkenaan.
“Kita laksanakan intervensi saringan kesihatan mental, kemudian pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah (turut) diberikan perhatian.
“(Jika) ada saja tanda-tanda ini (masalah kesihatan mental), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot MADANI dan Program KALVI MADANI di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Yahya Awal, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.
Pada Oktober tahun lepas, Fadhlina berkata KPM menggandakan pelaksanaan Program Saringan Minda Sihat kepada dua kali setahun bagi membolehkan pengesanan awal terhadap pelajar yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau memerlukan sokongan serta intervensi lanjut.
Sementara itu beliau berkata Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang diperkenalkan KPM adalah wajib dilaksanakan oleh kesemua pentadbir sekolah tanpa sebarang kompromi.
Katanya usaha itu adalah antara langkah yang dilakukan kementerian dalam memastikan segala isu terkait dengan keselamatan murid terus diberikan keutamaan.
Pada 12 Jun lepas, Fadhlina dilaporkan berkata garis panduan berkenaan akan menjadi rujukan semua institusi pendidikan di bawah KPM merangkumi tanggungjawab sekolah, guru serta pihak berkepentingan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan murid terpelihara.– BERNAMA
