KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.1 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) di seluruh negara tahun ini dalam usaha memperkukuh peranan dan kapasiti organisasi itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata daripada jumlah itu, RM2.88 juta disalurkan kepada 315 kesatuan sekerja di Semenanjung menerusi Majlis Penyerahan Geran PHEKS 2026 yang diadakan hari ini.
“Daripada jumlah keseluruhan RM6.1 juta itu, RM3.5 juta diperuntukkan bagi program latihan, pendidikan, penyelidikan, pendigitalan serta pemerkasaan tadbir urus kesatuan sekerja.
“Bagi RM2.6 juta lagi, ia akan disediakan bagi program jangkauan komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran PHEKS 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia, di sini, hari ini.
Ramanan berkata pemberian geran itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasakan kesatuan sekerja dalam menjaga kebajikan pekerja dan meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti kesatuan.
Katanya, kesatuan sekerja perlu memainkan peranan lebih aktif untuk menarik penyertaan pekerja dengan memperbanyak program serta membuka lebih banyak peluang kepada ahli untuk terbabit dalam pelbagai aktiviti, termasuk di peringkat antarabangsa.
“Langkah pertama perlu datang daripada kesatuan sekerja sendiri. Mereka perlu melibatkan lebih ramai ahli dan memberi lebih banyak peluang penyertaan dalam pelbagai program yang dianjurkan.
“Sebagai contoh, penyertaan dalam persidangan antarabangsa boleh diperluaskan supaya ahli memperoleh pendedahan dan pengalaman yang dapat membantu memperkukuh organisasi masing-masing,” katanya.
Mengenai kadar keahlian kesatuan sekerja yang masih rendah, Ramanan berkata usaha memperkukuh gerakan kesatuan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran pekerja mengenai kepentingan menyertai kesatuan.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan sedia mempertimbangkan peningkatan peruntukan pada masa hadapan sekiranya dana disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya serta diurus secara berkesan oleh penerima geran.
“Jika peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan dengan baik dan terdapat keperluan yang jelas, kerajaan akan mempertimbangkan penambahan dana.
“Matlamat kita adalah memperkukuh produktiviti kesatuan sekerja dan menggalakkan lebih ramai pekerja lain juga dalam kesatuan sekerja,” katanya.
Mengulas perubahan landskap pekerjaan global, Ramanan berkata kecerdasan buatan (AI) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya realiti yang perlu dihadapi semua pihak.
Justeru, katanya, pekerja perlu bersedia meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Bagi menyokong agenda itu, KESUMA menerusi pelbagai inisiatif termasuk Jelajah AI MyMahir di bawah TalentCorp menyediakan peruntukan RM110 juta untuk meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia.
“Usaha ini bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi AI, malah berupaya menjadi peneraju dalam bidang itu,” katanya.-BH Online
