Sorting by

×
KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan wang sumbangan dalam Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) akan diurus dengan baik dan bantuan menggunakan dana itu benar-benar sampai kepada rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan AAKRP bukan seperti akaun badan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya ditubuhkan kerajaan di bawah Kementerian Luar dan dipengerusikan Ketua Setiausaha serta mempunyai jawatankuasa dan bahagian kewangannya sendiri.

Mohamad berkata, akaun itu juga diaudit Ketua Audit Negara dan sebarang permohonan untuk mengeluarkan dana bantuan itu diurus mengikut prosedur ditetapkan.

“NGO kita adalah Ops Ihsan, yang ditubuhkan kementerian dan mempunyai 38 badan yang bergabung, termasuk Mercy Malaysia dan kita pastikan bantuan AAKRP ini benar-benar sampai ke sana.

“Itu sebabnya kita beri terus kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Bulan Sabit Merah di sana dan Mercy.

“Jadi, tidak betul apa yang disebut dalam media sosial, mengatakan kita memberi sewenang-wenangnya kepada NGO… tidak,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai mekanisme tatakelola AAKRP bagi memastikan dana bantuan itu sampai kepada rakyat Palestin susulan timbul isu mengenai pengurusan akaun itu di media sosial, baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohamad memaklumkan, bantuan makanan dan perubatan, termasuk dari Malaysia kini mula memasuki Gaza melalui jalan darat walaupun ia dihadkan sebanyak 100 kontena sehari.

“Barangan kita banyak yang sudah masuk melalui rakan kita di Mesir. 

“Kita minta supaya barang Malaysia yang lama tersangkut itu dapat dibawa masuk,” katanya. -BH Online