Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Pelaksanaan BUDI Diesel bermula 1 Julai ini dijangka memperkukuh usaha kerajaan mengekang ketirisan subsidi dan aktiviti penyeludupan bahan api, selain memastikan manfaat diesel bersubsidi dinikmati sepenuhnya rakyat Malaysia yang layak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penjimatan hasil daripada pengurangan ketirisan subsidi membolehkan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter yang dinikmati ketika ini di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata, sebelum ini subsidi diesel diberikan secara terbuka tanpa pengesahan identiti pengguna, menyebabkan ruang ketirisan dan penyalahgunaan terus berlaku.

“Melalui BUDI Diesel, subsidi kini hanya diberi kepada rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan MyKad.

“Penjimatan hasil usaha menutup ruang ketirisan dan mengekang penyeludupan membolehkan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak,” katanya pada sidang media selepas sesi Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Mulai 1 Julai ini, harga diesel di pam akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi, manakala bantuan subsidi kerajaan hanya disalur kepada rakyat Malaysia yang layak menerusi pengesahan MyKad.

Memperincikan lagi perkara terbabit, Amir Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan golongan bukan warganegara dan pihak tidak layak, tidak lagi menikmati subsidi diesel kerajaan.

Katanya, setiap individu yang layak akan diberi had kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan dan ia boleh digunakan untuk membeli bahan api bersubsidi termasuk RON95 dan diesel.

Beliau berkata, data daripada pihaknya menunjukkan hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang 200 liter bahan api sebulan dan ini menjadikan had berkenaan mencukupi bagi majoriti pengguna.

Mengambil kira keperluan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan yang banyak bergantung kepada kenderaan pikap serta jip, kerajaan turut menyediakan tambahan 100 liter sebulan kepada pemilik kenderaan kategori itu yang layak, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

“Berdasarkan data penggunaan semasa, dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang 300 liter sebulan,” katanya.

Amir Hamzah berkata, pihaknya juga mengambil kira keperluan kumpulan lain yang bergantung kepada diesel untuk kehidupan harian seperti pengusaha bot sungai dan pengguna set jana kuasa (genset) di kawasan pedalaman.

“Mekanisme khusus bagi kumpulan terbabit sedang dimuktamadkan bagi memastikan mereka terus menerima bantuan bersesuaian,” katanya.

Dalam konteks Sabah, Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan kini bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk memuktamadkan data penerima yang layak menerima diesel bersubsidi.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad untuk menebus subsidi bahan api bukan sesuatu yang baharu kerana mekanisme sama digunakan dalam pelaksanaan BUDI RON95 di seluruh negara.

Katanya, kejayaan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak membuktikan penggunaan MyKad tidak menghadapi masalah.-BH Online