KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kedudukan yang baik untuk menjadi peneraju kepada perundangan timbang tara Islam, berdasarkan kemampuan sebagai negara maju dalam kewangan Islam, perdagangan halal, pembangunan wakaf dan pelaburan rentas sempadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, berkata sistem kewangan Islam yang kukuh di negara ini wujud hasil keyakinan terhadap kerangka perundangan dan penyelesaian pertikaian yang menyokongnya.
Katanya, pengiktirafan antarabangsa terhadap ekosistem pelaburan patuh Syariah Malaysia membuktikan negara ini mampu menyumbang lebih banyak dalam mekanisme penyelesaian pertikaian secara timbang tara mengikut kaedah Islam.
“Sejak beberapa dekad lalu, Malaysia muncul sebagai salah satu pusat utama kewangan Islam dunia dan di peringkat ASEAN sendiri, negara memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan dan pengaruh kewangan Islam di rantau ini.
“Menurut Laporan Tahunan 2025 oleh Bank Negara Malaysia, Malaysia menguasai 82 peratus aset perbankan Islam ASEAN, 91 peratus aset takaful dan retakaful, serta 75 peratus nilai keseluruhan sukuk tertunggak. Malah sektor perbankan Islam, industri takaful, pasaran sukuk dan ekosistem pelaburan patuh Syariah negara diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Malaysia juga dinobatkan sebagai negara paling maju dalam kewangan Islam, diikuti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdasarkan Laporan Pembangunan Kewangan Islam ICD-LSEG 2024. Ekosistem kukuh ini wujud kerana keyakinan terhadap kerangka perundangan dan penyelesaian pertikaian yang menyokongnya.
“Seiring dengan perkembangan kewangan Islam, perdagangan halal, pembangunan wakaf dan pelaburan rentas sempadan, keperluan terhadap mekanisme penyelesaian pertikaian juga semakin meningkat dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang kepada pembangunan ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Timbang Tara Islam 2026, anjuran Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kedudukan unik dalam merealisasikan konsep tahkim moden yang lebih berdaya saing dan mempunyai realiti komersial tanpa mengabaikan prinsip etika dan nilai budaya.
“Konsep taḥkīm mempunyai akar yang mendalam dalam tamadun Islam. Masyarakat Islam dari Asia Barat hingga Afrika, Asia Tengah dan Asia Tenggara sejak berabad lamanya bergantung kepada taḥkīm sebagai kaedah menyelesaikan pertikaian secara adil, cekap dan harmoni.
“Ia merangkumi prinsip asas yang kekal relevan hingga kini melalui konsep autonomi pihak, ketidakberpihakan, keadilan, niat baik dan pemeliharaan hubungan.
“Hari ini, kerangka perundangan ini mungkin sudah berkembang mengikut keperluan komersial. Pertikaian mungkin sudah membabitkan instrumen kewangan yang kompleks, projek multinasional, aset digital dan pelaburan rentas sempadan. Namun yang perlu dikekalkan dan tidak berubah adalah menyediakan proses yang adil, cekap dan boleh dipercayai,” katanya.
Katanya, kewujudan AIAC juga mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pusat timbang tara yang berwibawa, memandangkan badan ini konsisten dalam menunjukkan kepimpinan dalam mempromosikan timbang tara, penyelesaian patuh Syariah dan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di peringkat serantau dan antarabangsa.
Namun, katanya, pembangunan masa depan timbang tara Islam perlu menangani beberapa cabaran penting, antaranya membabitkan pembangunan bakat dan kepakaran serta kekal pada prinsip asas keadilan seiring perkembangan inovasi dan teknologi.
“Selain itu, kepastian undang-undang juga penting khususnya dalam pembabitan aktif antara sarjana, pengamal dan institusi yang akan membantu membangunkan amalan terbaik yang meningkatkan keyakinan terhadap timbang tara Islam merentasi bidang kuasa,” katanya.-BH Online

