KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat bagi meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya memutuskan tujuh syor bagi menambah baik pindaan RUU berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata syor berkenaan, termasuk pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan tanpa pembabitan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
Selain itu, proses pelantikan lebih telus dengan pembabitan Parlimen, yang mana calon dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen untuk membolehkan pandangan diberikan kepada Suruhanjaya Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan (SPKP).
“Syor ketiga, tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula bagi mengukuhkan kebebasan institusi.
“Seterusnya, kewajipan untuk Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi.
“Syor lain ialah penempatan kod etika khusus bagi Pendakwa Raya, di mana pelanggaran kod itu boleh menjadi satu daripada alasan untuk penyingkiran daripada jawatan.
“Peruntukan membolehkan Parlimen menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penyingkiran dan tanggungjawab pelapor Pendakwa Raya bagi memastikan reformasi ini dapat terus diperkukuh dari masa ke masa.
“Penegasan bahawa pelantikan Pendakwa Raya hendaklah dibuat hanya daripada calon yang disyorkan SPKP bagi memastikan proses pelantikan kekal berasaskan institusi dan bebas daripada pengaruh eksekutif,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Pada 3 Mac lalu, Dewan Rakyat memutuskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU berkenaan.
Selepas mengemukakan usul untuk bacaan kali kedua RUU itu, Azalina berkata, jawatankuasa akan meneliti RUU itu, termasuk mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas itu yang terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengadakan tujuh mesyuarat dan menerima pembentangan serta pandangan pelbagai pihak berkepentingan daripada pelbagai aspek reformasi untuk diteliti secara menyeluruh.
“Jawatankuasa juga mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan organisasi masyarakat sivil.
“Pendekatan ini membolehkan jawatankuasa meneliti cadangan itu dari pelbagai sudut, termasuk implikasi perlembagaan, operasi, pentadbiran, sumber manusia, kewangan dan pengalaman negara lain yang melaksanakan model serupa,” katanya.
Sementara itu, Azalina memaklumkan beliau akan bertemu dengan Ahli Parlimen pembangkang petang ini, bagi membentangkan pindaan kepada RUU itu, seterusnya mendapatkan komitmen mereka untuk mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga.
Setakat ini, Azalina berkata, beliau belum dapat memberikan garis masa bagi pembentangan RUU itu dan perlu menunggu hasil perbincangan dengan blok pembangkang.
“Saya perlu membacakan pindaan dan mendapatkan sokongan majoriti mudah terlebih dahulu. Kemudian, baru kita akan meneruskan dengan pindaan Perlembagaan melalui bacaan kali kedua, yang memerlukan sokongan dua pertiga dan mendapatkan lagi sokongan dua pertiga pada bacaan kali ketiga.
“Saya masih belum pasti (garis masanya). Kami sedang berunding dengan pihak pembangkang dan saya harap mereka akan memberikan jumlah sokongan yang diperlukan kerana saya percaya jawatankuasa khas itu bekerja keras untuk mencapai satu kompromi.
“Mereka (pembangkang) juga diwakili dalam jawatankuasa khas berkenaan, bukan hanya penyokong kerajaan di blok belakang saja,” katanya. -BH Online
