BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA sebagai sokongan berterusan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan bagi tahun ini ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.
“Setakat ini 773 pengamal media seluruh negara sudah menerima sumbangan berjumlah RM2.26 juta.
“Jadi, ini kerana kejayaan ini, atas semangat ihsan dan kasih, maka Tabung Kasih@HAWANA untuk tahun 2026 ini, kita peruntukkan (tambah) RM1 juta,” kata beliau.
Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena sambutan HAWANA 2023 diwujudkan bagi membantu pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan termasuk menerusi bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga serta bentuk sokongan lain.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 hari ini turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.
Turut hadir Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj serta barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan dan rakan strategik HAWANA 2026.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, Majlis Kemuncak HAWANA 2026 menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara selain wakil delegasi dari Timor-Leste, Kemboja dan Laos. – BERNAMA
