KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima surat makluman yang mengesahkan kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan secara jelas bila surat itu diterima, namun berkata sesi Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan turut menyaksikan beberapa pertukaran tempat duduk Ahli Parlimen.
Ditanya sama ada perubahan itu akan turut membabitkan tempat duduk Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mengesahkannya atas permintaan Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri.
aya sudah terima surat yang mengesahkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan beberapa pertukaran tempat duduk Ahli Parlimen…. itu sahaja,” katanya ketika dihubungi BH.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat daripada BERSATU pada Februari lalu sebelum kedudukan beliau selaku Ketua Pembangkang mencetus pertikaian.
Susulan itu, gabungan pembangkang melalui Perikatan Nasional (PN) melantik Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikan hamzah.
Jawatan itu kemudiannya diberikan semula kepada Hamzah dengan persetujuan 43 Ahli Parlimen PAS dan 19 Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen RESET Malaysia di Kelantan baru-baru ini, yang turut menyaksikan Hamzah mengumumkan pembentukan parti baharunya iaitu Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Dalam pada itu, Johari ketika ditanya berhubung dakwaan ada ada pengumuman yang dikatakan akan dibuat Hamzah pada sesi persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini, bagaimanapun berkata tiada sebarang perkara luar biasa.
Sementara itu, semakan pada laman sesawang Parlimen mendapati Hamzah akan ditempatkan di tempat duduk asal di Blok G selaku Ketua Pembangkang bersebelahan Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN.
Sebelah Ahmad Samsuri pula adalah tempat duduk Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, diikuti Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Naib Presiden BERSATU yang digantung keahliannya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.Muhyiddin pula yang sebelum ini duduk di sebelah Hamzah dipindahkan ke Blok E bersebelahan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.-BH Online
