KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sedang memantau dan menjalankan siasatan berhubung kegiatan sindiket yang dipercayai terbabit dalam penjualan sijil cuti sakit (MC) palsu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan berhubung kes berkenaan akan diketuai MMC dengan kerjasama KKM serta agensi penguatkuasaan berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia bukan sahaja membabitkan integriti amalan perubatan, malah berpotensi menimbulkan isu berkaitan perlindungan data dan keselamatan maklumat.
“Saya yakin MMC akan mengeluarkan penjelasan dan hasil siasatan dalam masa terdekat serta tindakan yang setimpal akan diambil terhadap pihak terbabit.
“MMC akan mengetuai siasatan berkaitan perkara ini dengan kerjasama KKM dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
“Kita akan beri perhatian mengenai isu ini kerana ia mungkin boleh melibatkan isu perlindungan data dan keselamatan maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media Program Cik Era Naik MRT di Stesen Tun Razak Exchange (TRX) pada hari ini.
Mengulas penahanan lima individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan MC palsu, termasuk seorang jururawat, Dr Dzulkefly berkata, KKM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau etika profesional.-BH Online

