KUALA LUMPUR: Malaysia kini mengorak langkah ke fasa baharu ekonomi berteraskan teknologi tinggi, semikonduktor, inovasi dan kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap projek pembangunan membawa manfaat yang adil dan saksama kepada rakyat, memelihara kepentingan komuniti setempat, serta memperkukuhkan daya saing negara.
“Malaysia sedang melangkah ke fasa baharu ekonomi berteraskan teknologi tinggi, semikonduktor, inovasi dan AI.
“Namun, sebesar atau secanggih mana pun kepesatan teknologi, tumpuan kita tetap kepada manusia bagi melahirkan generasi yang tidak hanya memiliki kemahiran dan kepakaran, tetapi juga nilai, ihsan serta tanggungjawab untuk membina masyarakat yang berukun dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran melalui X.
Anwar berkata, pembangunan yang bermakna bukan sekadar menjulang angka pelaburan atau mempercepatkan pertumbuhan, tetapi juga memastikan hasil kemajuan itu dirasai seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, projek Setia Fontaines Industrial Park di Kepala Batas, Pulau Pinang, amat penting kerana ia akan menjamin peluang pekerjaan yang berkualiti, memperluaskan peluang latihan kemahiran, serta menjelmakan pembangunan di kawasan yang selama ini belum menikmati pertumbuhan setara dengan kawasan lain.
SP Setia Bhd melakar satu lagi pencapaian dengan memulakan pembangunan Setia Fontaines Industrial Park di Bertam, Pulau Pinang.
Taman perindustrian seluas kira-kira 206 hektar itu adalah sebahagian daripada pembangunan Setia Fontaines berkeluasan kira-kira 684.3 hektar dengan menawarkan lot perindustrian ringan, sederhana dan komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat multinasional. -BH Online
