Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Kerajaan bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media tempatan melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta bagi dana itu yang diumumkan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lalu.

Perdana Menteri memaklumkan hingga kini, sebanyak 72 syarikat media sudah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta daripada dana itu.

“Kita menyediakan peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian, kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan.

“Jadi, ini berita baik untuk kita. Jalankanlah kerja baik,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini, hari ini, yang turut disiarkan secara langsung melalui Bernama TV.

Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menyokong transformasi industri media melalui pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital.

Dana itu turut memberi tumpuan kepada latihan pengamal media, penghasilan kandungan kreatif dan interaktif, serta usaha memperkukuhkan penyampaian maklumat yang tepat dan relevan kepada rakyat. -BH Online