SHAH ALAM: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal dimeriahkan dengan penyertaan pempamer luar negara, sekali gus memberikan nilai tambah baharu kepada penganjuran acara dwitahunan berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Brazil, China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Hungary dan Wilayah Guangxi.
“Insya-Allah MAHA akan berjalan dengan baik dengan penyertaan luar negara pada tahun ini agak meningkat. Uzbekistan mungkin akan hadir dan beberapa negara yang lain (masih menunggu pengesahan penyertaan) ” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Road To MAHA 2026 Zon Tengah, di sini hari.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Isham Ishak, berkata penyertaan negara-negara berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh peserta untuk mengemas kini pengetahuan dan teknologi terkini membabitkan sektor pertanian.
“Ia juga memberikan peluang kepada peserta negara ataupun pengunjung untuk melihat peluang-peluang yang ada disediakan oleh negara luar berkenaan dan juga pempamer-pempamer kita.
“Jadi, kita juga akan ada sesi pemadanan perniagaan yang memberi mereka berpeluang untuk sama ada membeli ataupun menjual produk. Peserta kita juga ada peluang yang sama, iaitu membeli ataupun menjual produk-produk daripada luar negara terbabit,” katanya.
Terdahulu, Mohamad turut melancarkan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pasaran Agromakanan (SISDA) yang dibangunkan bagi memperkukuh sistem pemantauan bekalan dan pasaran makanan negara.
SISDA memanfaatkan teknologi analitis data raya, pembelajaran mesin dan sistem amaran awal untuk membantu kerajaan membuat unjuran serta melaksanakan intervensi yang lebih tepat dan berkesan.
Melalui sistem berkenaan, kerajaan dapat memantau keadaan bekalan, permintaan dan trend harga secara menyeluruh bagi memastikan kestabilan bekalan makanan, harga yang berpatutan kepada pengguna serta pulangan lebih baik kepada pengusaha sektor agromakanan. – BERNAMA
