KAZAN (Russia): Russia memberi jaminan untuk membekalkan petrol, minyak dan gas kepada Malaysia bagi jangka masa panjang, sekali gus memperkukuh sekuriti tenaga negara tanpa perlu bergantung kepada perjanjian bermusim atau tahunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata persetujuan secara prinsip itu dicapai susulan rundingan dua hala dan kini draf perjanjian komoditi strategik berkenaan hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan serta dimeterai sepenuhnya.
“Ini berita yang amat baik dari Russia kerana mereka memberi jaminan bekalan petrol, minyak dan gas untuk kita. Bukan itu sahaja, mereka bersetuju menyediakannya untuk jangka panjang.
“Maknanya rakyat Malaysia mendapat jaminan bekalan yang stabil, tidak terpaksa bergantung setiap tahun atau setiap musim, sebaliknya ada persediaan kukuh melalui memorandum perjanjian ini,” katanya pada sidang media penutup selepas lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Mengulas tempoh pelaksanaan, Anwar menjelaskan perbincangan teknikal peringkat awal sudah berjalan lancar membabitkan kehadiran wakil-wakil syarikat berkaitan ke negara ini.
“Sebaik pulang ke tanah air, kita akan meminta pihak berkenaan menyegerakan proses tersebut. Drafnya sudah ada dan prinsip sudah dipersetujui. Kita hanya menunggu delegasi rasmi untuk meneliti butiran akhir secara terperinci sebelum menandatanganinya,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan tertinggi kepada Presiden Russia, Vladimir Putin atas sokongan padu Moscow dalam memperkasakan kerjasama sektor tenaga dengan Malaysia, khususnya membabitkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Hubungan diplomatik dan ekonomi dua hala itu kini berkembang pesat merangkumi pelbagai portfolio strategik termasuk sektor perdagangan, pelaburan, sistem kewangan, serta industri ekonomi halal global.
Menyentuh kedudukan stok domestik, Anwar memberi jaminan kerajaan tidak berhadapan dengan sebarang masalah kekangan bekalan bahan api, biarpun pasaran global mungkin terkesan dengan turun naik harga semasa.
“Sebelum ini kita mengambil sikap berhati-hati ekoran kebimbangan lonjakan harga mendadak dan sekatan rantaian bekalan barangan. Namun sejak dua bulan lalu, unjuran rasmi menunjukkan pasaran bekalan kita berada pada tahap sangat stabil dan terkawal.
“Kebimbangan membabitkan petrol, diesel dan gas kini sudah reda. Malah bagi bekalan diesel yang dahulunya dianggap sangat rumit, pasaran kita kini mencatatkan sedikit lebihan.
“Kelebihan stok ini turut membolehkan kita membantu negara jiran yang memerlukan seperti Timor-Leste, jadi rakyat tidak perlu bimbang,” katanya. -BH Online
