KUCHING: Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Kamil Misuari, meninggal dunia hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada petang tadi.
Menurut kenyataan berkenaan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis, namun punca kematian tidak dinyatakan.
“Dengan penuh rasa sedih dan dukacitanya dimaklumkan bahawa Datuk Kamil Misuari, suami kepada YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi,” menurut kenyataan itu.
Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Kuching pada Jumaat.
Jenazah kemudiannya akan ditempatkan di kediaman rasmi Nancy di Taman Serira, Jalan Menggeris, Petra Jaya bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Allahyarham seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching. – Astro Awani
