KUALA LUMPUR: Projek rintis pelantikan bekas tentera sebagai warden sepenuh masa di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menunjukkan penurunan drastik isu terkait masalah disiplin pelajar, dengan masalah buli hampir sifar.
Perkara itu dikongsi Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas menerima dokumen Laporan lengkap Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.
Buku Laporan setebal 19 muka surat itu diserahkan Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
Berkongsi lanjut dapatan utama kajian itu, Asyraf Wajdi berkata antaranya warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama, selain inisiatif itu diterima positif pelajar, ibu bapa dan pentadbir.
Selain itu, katanya kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme.
“Pelajar merasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri dan asrama, mencanai nilai hormat dan adab, malah ia memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan.
“Paling penting ia juga mengurangkan beban guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah,” katanya melalui perkongsian di Facebook.
Berdasarkan laporan positif kajian ini, Asyraf Wajdi berkata MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera di semua 58 MRSM seluruh Malaysia.
“Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistik.
“Terima kasih dan penghargaan buat seluruh pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian menyeluruh dan amat bermanfaat buat MARA dan MRSM,” katanya.
Dalam pada, Asyraf Wajdi melalui muat naik berasingan mengingatkan ibu bapa dan masyarakat tidak perlu khuatir kerana warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera akan ditapis secara teliti dan melalui proses latihan khas dengan modul kerjasama UPM, sebelum ditempatkan di semua 58 MRSM bermula Januari 2027. -BH Online
