Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAZAN: Malaysia menegaskan bahawa dialog dan diplomasi hendaklah terus menjadi asas utama dalam menangani pelbagai konflik serta ketegangan geopolitik dunia yang kian mencabar dan tidak menentu ketika ini.

Ketegasan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kenyataan Negara sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia di sini, hari ini, yang menjadi medan penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara blok Asia Tenggara itu dengan negara itu.

“Malaysia kekal berpegang teguh kepada prinsip bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman yang mendalam, serta penghormatan yang tinggi terhadap undang-undang antarabangsa.

“Selain isu, fokus turut diberikan kepada usaha melonjakkan kerjasama ekonomi dan teknologi moden demi manfaat bersama kedua-dua pihak. Antara sektor strategik yang diberi penekanan utama termasuklah perdagangan, pelaburan, sektor digital, sains dan teknologi, Kecerdasan Buatan (AI), tenaga, keterjaminan makanan, industri halal, serta pengukuhan hubungan antara rakyat.

“Sektor ini dilihat mampu menjana impak serta manfaat yang lebih besar kepada seluruh negara anggota ASEAN dan Persekutuan Russia,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan di Asia Barat, Perdana Menteri berkata, Malaysia sekali lagi mengambil pendirian tegas dengan mengulangi tuntutan agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta.

“Malaysia mendesak supaya bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan, selain terus konsisten mempertahankan hak mutlak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan dan kedaulatan tanah air mereka sendiri.

“Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya perluasan tindakan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel ke Lubnan. Tindakan agresif rejim itu yang menyasarkan serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) turut dikutuk sekeras-kerasnya kerana jelas melanggar undang-undang dan piagam antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya bahawa ASEAN dan Russia mempunyai ruang yang amat luas untuk memperkukuh kerjasama yang sedia ada, berasaskan rasa hormat, manfaat bersama, serta komitmen yang jitu terhadap keamanan, kestabilan, dan kemakmuran sejagat.-BH Online