Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 antara lain akan memperkenalkan hukuman bagi kesalahan lumba haram dan kegiatan tonto, selain menaikkan kadar denda bagi kesalahan serius.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pindaan Akta 333 itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 minggu hadapan, membabitkan 11 skop merangkumi 42 fasal.

“Pindaan kali ini lebih menyeluruh dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini selepas kali terakhir akta berkenaan dipinda pada 2020 bagi meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

“Ini adalah pindaan pertama yang akan dibawa tahun ini dan satu lagi pindaan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen hujung tahun nanti.

“Pindaan kedua itu (hujung tahun) akan memberi fokus kepada cadangan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan membabitkan pemandu mabuk, pemandu positif dadah atau pemanduan melulu bagi memastikan keadilan kepada mangsa,” katanya pada sesi taklimat khas kepada media di Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sini, hari ini.

Menurut Loke, antara fokus utama pindaan kali ini ialah memperkasakan transformasi digital Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah penguatkuasaan konvensional.

Katanya, penggunaan teknologi seperti Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) akan membolehkan penguat kuasa mengesan secara automatik status cukai jalan, insurans dan rekod kenderaan tanpa perlu menghentikan kenderaan di sekatan jalan raya.

“Kita mahu penguatkuasaan lebih pintar, cekap dan mengurangkan interaksi secara langsung antara pegawai dan pengguna jalan raya.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, malah dapat mengurangkan persepsi negatif serta isu integriti yang sering dikaitkan dengan operasi pemeriksaan di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata, pindaan itu turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras aktiviti lumba haram dan menangani gangguan tonto yang sering mengekori atau menghalang tugas penguat kuasa.

“Kita mahu ada peruntukan undang-undang yang lebih jelas supaya tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang mengganggu atau menggugat tugas pegawai penguat kuasa.

“Selain itu, pindaan turut merangkumi aspek mobiliti rentas sempadan dan beberapa isu lain yang memerlukan penyesuaian dengan perkembangan semasa,” katanya.

Mengulas cadangan menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 ketika ini, Loke berkata langkah itu bukan membabitkan semua kesalahan sebaliknya hanya bagi kesalahan tertentu yang dianggap serius dan berulang.

Katanya, kadar kompaun sedia ada dilihat tidak lagi memberi kesan pencegahan yang mencukupi kepada segelintir pengguna jalan raya.

“Namun, jika diluluskan, pelaksanaannya tidak akan dibuat serta-merta.

“Kita sedang melihat tempoh peralihan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum kadar baharu itu dikuatkuasakan.

“Tujuannya bagi memberi masa kepada rakyat menyesuaikan diri dan memastikan pelaksanaan dilakukan secara teratur,” katanya.

Beliau berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan pertama Isnin depan sebelum dibahaskan pada bacaan kedua keesokan harinya.

Katanya, cadangan pindaan itu juga sudah melalui proses penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang membabitkan wakil kerajaan dan pembangkang sebelum dimuktamadkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. – BH Online