Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM, 17 Jun — Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM140 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan krisis bekalan tenaga dan bahan asas susulan Perang Asia Barat awal tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pakej berkenaan bertindak sebagai penampan untuk mengurangkan beban rakyat.

Menurut beliau, inisiatif itu memfokuskan kepada keterjaminan bekalan makanan, kawalan inflasi dan bantuan langsung kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata, pelaksanaan bantuan itu bermula pada 15 Jun lalu sebagai fasa pertama, manakala fasa kedua sedang dirangka bagi menyokong kelangsungan sektor perindustrian negeri.

“Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Baucar Kita Selangor yang menawarkan bantuan RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima terpilih.

“Bantuan subsidi pengangkutan awam atau minyak bernilai RM30 sebulan, dengan permohonan dan penebusan dibuka sejak 1 Jun lalu menerusi aplikasi NINE,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, peruntukan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) ditingkatkan sebanyak RM5 juta bagi membolehkan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga lebih rendah kepada rakyat.

Pakej berkenaan turut merangkumi Inisiatif Sarapan Percuma yang memanfaatkan pelajar di 965 sekolah di seluruh Selangor melalui pelaksanaan oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi sektor pertanian pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta untuk membantu lebih 14,000 pengusaha agromakanan.

Peruntukan itu bagi menangani peningkatan kos operasi serta memastikan bekalan makanan kekal terjamin. -Berita RTM