Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sistem kemasukan ke universiti awam (UA) di negara ini dilaksanakan melalui mekanisme yang jelas, telus dan berasaskan merit serta syarat kelayakan yang ditetapkan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang berkata universiti awam sentiasa komited memastikan akses pendidikan tinggi diberikan secara adil kepada mereka yang memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, individu yang mendakwa terdapat antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti melalui saluran yang tidak sah atau menyalahi peraturan, perlu mengemukakan bukti dan fakta untuk menyokong dakwaan berkenaan.

“Tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian. Dalam dunia akademik, angka bukan sekadar angka. Setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya.

“Atas pertimbangan ini, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan. Tindakan ini bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara.

“Sebaliknya, tindakan ini diambil bagi memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan KPT memandang serius beberapa tuduhan berkaitan sistem kemasukan ke universiti awam oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah kononnya UA memberikan tempat kepada calon pelajar di luar sistem UPU.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas.

“Kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi dan budaya intelektual yang sihat. Namun, kritikan mestilah berpaksikan fakta, bukti dan kejujuran intelektual.

“Dalam dunia akademik, hujah dijawab dengan fakta. Analisis disokong dengan data dan tuduhan yang serius mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.

“Jika bukti itu tidak dapat dikemukakan, maka pihak yang membuat tuduhan perlu bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang sudah dikeluarkan,” katanya.

Tambah beliau, sebagai seorang sarjana, apatah lagi seseorang yang pernah berada dalam dunia akademik dan memegang gelaran doktor atau profesor, sewajarnya lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan kepada umum.

“Tradisi akademik mengajar kita bahawa setiap pandangan, kritikan dan hujah mestilah berasaskan fakta, data serta bukti yang boleh dipertanggungjawabkan.

“Dunia akademik menuntut budaya perbahasan yang beradab, beretika dan membina, bukannya berasaskan tuduhan melulu, persepsi atau angka yang tidak dapat disahkan.

“Atas sebab itu, saya selama ini mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai pandangan dan kritikan yang dikemukakan terhadap KPT mahupun institusi pendidikan tinggi negara. Kita sentiasa bersedia menerima teguran yang konstruktif demi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara,” katanya. – BH Online