Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Umat Islam diminta merapatkan saf, memadamkan segala permusuhan serta mengutamakan perkara yang menyatukan ummah demi mempertingkat perpaduan dan memastikan negara mampu mendepani pelbagai cabaran semasa dengan lebih kukuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata semangat hijrah juga perlu diterjemahkan melalui usaha memperbaiki hubungan sesama umat Islam dan meninggalkan perselisihan yang boleh melemahkan kekuatan ummah.

“Marilah kita merapatkan saf sesama kita, memadamkan segala bara serta api permusuhan yang masih mendekam dalam sanubari, dan menumpukan perkara yang menyatukan kita sebagai umat Islam.

“Hanya apabila aspek perpaduan umat ini berjaya dipertingkat, barulah agenda memartabatkan syiar Islam itu mampu digerakkan dengan lebih berkesan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Sambil memetik tafsir ulama, Zulkifli berkata, ia menjelaskan bahawa kesatuan masyarakat akan membawa limpahan rahmat kepada seluruh anggotanya, manakala perpecahan hanya mengundang kelemahan dan pelbagai musibah.

Justeru, beliau berharap perpaduan umat Islam diperkasakan kerana ia menjadi asas penting dalam memartabatkan syiar Islam serta membolehkan pelbagai agenda pembangunan umat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Begitu juga apabila berbicara soal umat, sudah tentu kita tidak boleh terlepas daripada membicarakan juga konsep umat sebagaimana yang dibahaskan oleh ulama, yang terbahagi kepada ummah ‘aqdiyyah, iaitu umat Islam yang berkongsi akidah sama.

“Satu lagi kategori ialah ummah siyasiyyah, iaitu saudara-mara setanah air kita daripada kalangan bukan Islam, yang berbeza akidah dan pegangannya, namun berkongsi dengan kita komitmen serta tanggungjawab untuk memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran tanah air,” katanya.

Pada masa sama, Zulkifli meminta rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang supaya memelihara semangat kebersamaan dan saling bekerjasama menjaga keamanan, kestabilan serta kemakmuran negara yang berbilang kaum dan agama.

Beliau berkata, seruan itu dilihat signifikan ketika negara berdepan pelbagai cabaran global, termasuk tekanan ekonomi dan krisis tenaga, yang memerlukan kesatuan hati serta kerjasama seluruh anggota masyarakat bagi menjamin kesejahteraan negara dan rakyat.

“Menginsafi takdir kepelbagaian yang melatari demografi negara kita, suka atau tidak, Malaysia ialah sebuah negara majmuk.

“Justeru, sudah tentu Sahifah Madinah yang digagaskan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah, merupakan contoh agung pembinaan sebuah masyarakat terdiri daripada pelbagai kabilah dan agama.

“Ia dihimpun dalam satu kesatuan yang berteraskan keadilan, tanggungjawab bersama dan kesetiaan kepada negara.

“Dalam konteks Malaysia, semangat ini diistilahkan sebagai kepelbagaian dalam bingkai kesatuan atau al-wihdah fi itar al-tanawwu’ yang memandu dan memacu hubungan antara kaum dan agama,” katanya. – BH Online