KAZAN: Malaysia dan Republik Tatarstan mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal, teknologi serta pembangunan bakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sejurus tiba di sini pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor tenaga turut menjadi fokus utama dalam perbincangan itu memandangkan Tatarstan merupakan antara wilayah pengeluar minyak utama di Persekutuan Rusia
“Usai tiba di Kazan, saya telah mengadakan pertemuan dengan sahabat yang juga Rais atau Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, bagi bertukar pandangan mengenai hubungan serta peluang kerjasama yang boleh diteroka demi manfaat kedua-dua pihak.
“Kami melihat ruang kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan serta petrokimia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata beliau dan Minnikhanov turut membincangkan peranan KazanForum dalam memperkukuh hubungan perniagaan selain membuka peluang baharu dalam bidang inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik.
“Semoga pertemuan ini terus mempererat hubungan Malaysia dan Tatarstan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak,” katanya.
Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kazan atas pengiktirafannya sebagai Bandar Kebudayaan Dunia Islam 2026 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO) yang mencerminkan peranannya sebagai pusat keilmuan Islam, kebudayaan dan inovasi.
Beliau juga menghargai visi Presiden Rusia Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group(SVG) yang berperanan sebagai jambatan penting antara Rusia dan dunia Islam dalam memperkukuh dialog serta kerjasama lebih bermakna.
Anwar tiba di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 10.20 malam waktu tempatan (3.20 pagi waktu Malaysia pada Rabu).
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia merupakan platform penglibatan peringkat tertinggi antara ASEAN dan Rusia, mencerminkan hubungan kerjasama yang telah berkembang dengan ketara sejak terjalinnya hubungan dialog pada 1991.
Rusia menjadi Rakan Dialog Penuh ASEAN pada 1996 dan hubungan itu dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik pada 2018, sekali gus menyerlahkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas kerjasama dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
Terletak di pertemuan Sungai Volga dan Sungai Kazanka di bahagian Eropah Rusia, kira-kira 800 kilometer di timur Moscow, Kazan mempunyai populasi sekitar 1.3 juta penduduk dan sering dirujuk sebagai “ibu negara ketiga” Rusia selepas Moscow dan Saint Petersburg.
Bandar itu mempunyai sejarah menjangkau lebih 1,000 tahun dan diiktiraf secara meluas sebagai antara pusat kebudayaan serta warisan Islam terpenting di negara berkenaan.– BERNAMA
