KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti potensi sumber gas asli dan hidrogen semula jadi yang dipercayai wujud di beberapa kawasan di negeri ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, penemuan awal menunjukkan terdapat petunjuk kewujudan sumber tenaga berkenaan, namun penyelidikan saintifik perlu dilaksanakan bagi menentukan jumlah sebenar rizab tersedia.
Katanya, kajian itu penting bagi memastikan sumber yang dikenal pasti mempunyai jumlah atau isipadu yang mencukupi untuk dibangunkan secara komersial pada masa depan.
“Kita tidak bercakap mengenai keadaan semasa, tetapi mengenai masa depan. Sebab itu kita melihat kepada produk baharu seperti gas asli dan hidrogen semula jadi yang berpotensi menjadi sumber tenaga penting.
“Berdasarkan pengetahuan saintifik, pembentukan gas asli berlaku hasil proses semula jadi melibatkan bahan organik, karbon dan tekanan di bawah permukaan bumi,” katanya selepas Majlis perasmian SWG Green Complex and Decarbon Hub di Demak Laut Industrial Park, di sini, hari ini.
Pada 10 Jun lalu, gas mudah terbakar jenis metana dikesan di tapak projek pembinaan Lebuhraya Pantai Utara di Kampung Datuk, Kuala Lawas, di utara Sarawak.
Penemuan itu disahkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yang membuat pemeriksaan di lokasi.
Tahun lalu, gas dikesan di sebuah kampung di Gedong manakala Januari lalu, ia turut dikesan keluar dari lubang tanah di Tapak Pesta Kaul, Oya di Dalat dalam Bahagian Mukah.
Penemuan gas yang disahkan jenis metana itu memaksa pantai rekreasi itu ditutup kepada orang awam sehingga disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Abang Johari berkata, unsur hidrogen yang lebih ringan berbanding karbon cenderung bergerak ke bahagian atas lapisan geologi dan boleh terkumpul dalam struktur tertentu yang berpotensi menjadi sumber tenaga semula jadi.
Katanya, beberapa kawasan di Sarawak menunjukkan petunjuk kewujudan gas bawah tanah antaranya di Gedong dalam daerah Simunjan, Pantai Oya dalam Bahagian Mukah dan terbaharu di Lawas di utara Sarawak.
“Namun jumlah sebenar hanya dapat dipastikan selepas kajian saintifik dan kerja penerokaan dijalankan. Sebab itu saya meminta satu kajian khusus dilakukan pasukan saintis di bawah sektor tenaga negeri bagi mengenal pasti potensi sebenar sumber berkenaan.
“Kita mempunyai petunjuk bahawa sumber itu wujud, tetapi perkara paling penting ialah menentukan jumlah atau volum yang ada,” katanya.
Abang Johari berkata jika kajian mengesahkan kewujudan rizab yang signifikan di Gedong, Mukah dan Lawas, ia berpotensi membuka peluang baharu kepada pembangunan industri tenaga Sarawak serta mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab tenaga bersih di rantau ini. – BH Online
