KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10 syarikat Bumiputera generasi baharu dikenal pasti memiliki potensi tinggi untuk dibimbing dan dipersiapkan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.
Selain Pasaran Utama Bursa Malaysia, keseluruhan syarikat itu juga dikenal pasti berpotensi menembusi Pasaran ACE iaitu pasaran didorong penaja direka untuk perusahaan mempunyai prospek pertumbuhan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem pembangunan Bumiputera, seiring aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Syarikat itu, katanya, dikenal pasti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melalui pendekatan berasaskan penciptaan nilai, akses kepada pelaburan swasta, pengukuhan pasaran modal serta peluasan ke pasaran serantau.
Beliau berkata, usaha terbabit penting, terutama bagi merapatkan jurang penyertaan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal negara.
“Realitinya pahit tetapi perlu dihadapi. Hanya satu daripada 97 penyenaraian baharu dalam tempoh tiga tahun lalu, milik majoriti Bumiputera, manakala kira-kira tujuh peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia milik Bumiputera.
“Angka ini menunjukkan keperluan bagi pendekatan lebih berstruktur untuk memperkukuh kehadiran penyertaan syarikat Bumiputera dalam ekosistem pasaran modal.
“Paradigma pembangunan Bumiputera kini beralih daripada pemberian bantuan kepada pembinaan nilai perniagaan sebenar. Kita tidak lagi bercakap mengenai syarikat Bumiputera yang sekadar bertahan.
“Fokus kita untuk melahirkan Bumiputera mampu menembusi pasaran ASEAN, menarik pelaburan, berkembang dan mencapai penyenaraian awam. Inilah maksud sebenar pemerkasaan, bukan perlindungan tetapi persaingan berasaskan merit dengan sokongan ekosistem tepat,” katanya kepada BH.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian pada sesi libat urus bersama media dan pemain industri dekat Carcosa Seri Negara di sini, kelmarin.
Selain Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, sesi itu turut menghimpunkan syarikat penerima manfaat program TERAJU, institusi kewangan serta rakan strategik dalam ekosistem pembangunan Bumiputera.
Manfaat program disediakan TERAJU
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut menyeru syarikat Bumiputera berpotensi tinggi tampil memanfaatkan program disediakan TERAJU.
“Kerajaan sudah menyediakan platform dan ekosistem diperlukan. Kini masanya untuk lebih banyak syarikat Bumiputera memanfaatkan peluang yang tersedia dan melangkah ke tahap pertumbuhan lebih tinggi.
“Kita mampu berjaya bukan kerana diberi peluang semata-mata, tetapi kerana berkeupayaan dan berdaya saing untuk terus berkembang,” katanya.
Beliau antara lain menjelaskan jumlah syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia antara lain mempamerkan keperluan pendekatan lebih berstruktur bagi memperkukuh penyertaan perusahaan berkenaan dalam ekosistem pasaran modal.
Menerusi TERAJU, katanya, empat program baharu dilancarkan Februari lalu, yang dirangka sebagai platform pemudahcaraan berstruktur bagi mempercepat penskalaan, meningkatkan daya saing dan memperkukuh penciptaan nilai syarikat Bumiputera berpotensi tinggi.
“Pendekatan ini berasaskan penilaian bersasar mengikut keperluan syarikat dengan setiap perusahaan tidak lagi diberikan pendekatan generik.
“Mereka sebaliknya dinilai secara khusus dan disokong melalui intervensi sesuai, sama ada memperkukuh asas perniagaan, meningkatkan nilai, menarik pelaburan atau mempercepat kesiapsiagaan ke arah tawaran awam permulaan (IPO),” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, usaha itu turut diperkukuh melalui Memorandum Kolaborasi antara TERAJU dan Bursa Malaysia yang dimeterai pada Februari lalu, bertujuan membimbing dan melengkapkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi memenuhi keperluan penyenaraian IPO.
“Inilah saluran ke arah IPO Bumiputera sedang kita bina. Syarikat yang dikenal pasti akan melalui proses pembangunan berstruktur, daripada pengukuhan tadbir urus pengauditan, penilaian hingga kesiapsiagaan penyenaraian dengan kerjasama rapat Bursa Malaysia dan rakan dalam ekosistem.
“Matlamat kita jelas, iaitu melahirkan barisan syarikat Bumiputera tersenarai yang berkualiti dan berdaya saing, bukan sekadar mencukupkan bilangan,” katanya.
Sementara itu, Junady berkata, pencapaian program TERAJU tahun lalu, membuktikan asas pembangunan ekosistem Bumiputera semakin kukuh:
“Mandat TERAJU jelas iaitu membina ekosistem pembangunan Bumiputera mapan, inklusif dan berdaya saing. Pencapaian berkenaan menjadi asas kukuh kepada usaha memperkasa penciptaan nilai Bumiputera.
“Empat program baharu dilancarkan tahun ini, pula akan membantu syarikat Bumiputera melangkah ke peringkat seterusnya, termasuk penyenaraian awam dan pengembangan ke pasaran serantau,” katanya.-BH Online

