KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa pembabitan wanita dalam arena sukan tanah air menerusi pelancaran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2026-2030, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pelan berkenaan dirangka bagi memastikan lebih ramai wanita bukan sahaja terbabit sebagai atlet, malah memainkan peranan penting dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan dalam sukan.
Menurut beliau, KBS menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus representasi wanita dalam sektor sukan, termasuk di peringkat persatuan, pengurusan, kejurulatihan dan kontinjen negara.
Katanya, sasaran itu mampu dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), sektor korporat serta kementerian berkaitan.
“Wanita perlu diberi ruang bukan sahaja sebagai atlet, tetapi juga berada di posisi-posisi penting dalam persatuan sukan, menjadi pembuat keputusan dan mewakili negara di pentas sukan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkasa wanita dalam sukan perlu bermula dari peringkat akar umbi dan sekolah, sekali gus menjadikan bidang sukan sebagai platform melahirkan lebih ramai wanita berwibawa dalam pelbagai sektor termasuk kepimpinan dan perniagaan.-BH Online
