KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan sukar ditembusi musuh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober ini.
“Kita memang akui Pelangai adalah kubu kuat Umno. Sebelum ini dipegang oleh Tok Nan (bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob),” katanya.
Kenyataan Muhammad Sanusi yang ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini berlainan nada dan tidak seperti yang dilaungkan sebelum ini.
Sabtu lalu, Menteri Besar Kedah itu melahirkan keyakinan PN mampu menawan kerusi berkenaan ketika menghadiri program ‘Sanusi Mai Pelangai di FELDA Kemasul Bentong, Pahang.
Jelasnya, sebagai ketua dalam ‘peperangan’ beliau perlu menyuntik keyakinan dalam kalangan jentera parti mengenai peluang untuk merampas DUN Pelangai daripada BN.
“Sebagai pengarah pilihan raya, saya mesti ada keyakinan. Kalau saya kata, saya pun tak tahu, orang akan jadi meloroi (tidak bersemangat). Saya sebagai ketua saya kena ada keyakinan itu, baru anak buah bekerja untuk menang,” katanya.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
BN mengekalkan kerusi DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November lalu, menerusi Datuk Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu. -Media Perpaduan