Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TOKYO: Syarikat terkemuka Jepun dipelawa untuk memperluaskan pelaburan dalam sektor teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pengkomputeran awan dan teknologi kuantum bagi memperkukuh hab teknologi serantau, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang memacu Malaysia memasuki fasa baharu dalam pembangunan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada industri berimpak tinggi selepas kejayaan dalam hubungan perdagangan Malaysia-Jepun sebelum ini seperti getah, minyak dan gas.

“Kita sudah menjadi hab semikonduktor di rantau ini dan sektor ini berkembang dengan amat pesat. Kita telah menyaksikan eksport daripada elektrik dan elektronik (E&E) yang sangat besar nilainya dan saya percaya ramai dalam kalangan anda, mungkin tujuh atau lapan syarikat, turut terbabit dalam bidang pengkomputeran kripto.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kerana ini adalah bidang baharu yang sedang berkembang, termasuk digital, kecerdasan buatan (AI) dan kripto.

“Semua ini adalah sektor baharu yang perlu diberi perhatian, di samping bidang tradisional yang terus kita kekalkan dan bangunkan,” katanya ketika menyampaikan kata-kata aluan pada Mesyuarat Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan pemimpin industri Jepun di sini, hari ini.

Perbincangan disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Anwar berkata, dalam sektor tenaga, Malaysia juga sedang meneroka pelbagai peluang baharu termasuk pembangunan grid tenaga rentas sempadan dan projek kabel dasar laut yang menghubungkan beberapa negara ASEAN.

Beliau berkata, inisiatif itu membabitkan kerjasama tenaga dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura selain cadangan rangkaian tenaga yang menghubungkan Sarawak, Sabah, Indonesia serta Filipina.

Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia berharap dapat memanfaatkan pengalaman serta kepakaran Jepun dalam bidang teknologi moden serta penyelidikan bagi menyokong usaha itu.

“Keutamaan baharu kami selain sektor E&E, ialah semikonduktor serta teknologi kuantum yang juga perlu kita manfaatkan melalui pengalaman dan kepakaran Jepun.

“Namun, di luar bidang itu, seperti yang ramai antara anda sedia maklum, kerjasama dan pembabitan bersama dengan pusat penyelidikan serta universiti juga semakin kukuh. Saya baru sahaja menghadiri sesi di Universiti Tokyo dan mengadakan pertukaran pandangan yang amat baik bersama profesor, penyelidik serta pelajar,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada syarikat Jepun yang disifatkan sebagai antara pelabur terawal yang membantu pembangunan ekonomi Malaysia sejak negara mula membangunkan sektor perindustrian pada era 1970-an.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya terus mengamalkan pendekatan terbuka dengan mendengar pandangan pemain industri dalam merangka dasar ekonomi negara.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama enam syarikat utama Jepun iaitu IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.

Pertemuan itu memberi tumpuan kepada potensi pelaburan dan perdagangan dalam sektor strategik termasuk tenaga, industri halal, AI serta teknologi perkomputeran termaju.

Perbincangan turut menjurus kepada usaha merancakkan aliran pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia, memperkasakan pembangunan sektor berteknologi tinggi dan memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun.

Lawatan rasmi Anwar ke Jepun dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang teknologi, tenaga dan inovasi yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa depan.-BH Online