KUALA LUMPUR: Pemandu yang dinilai berhemah akan menerima rebat premium sehingga 10 peratus ketika memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ dalam inisiatif CERMAT MADANI yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan.
Menterinya, Anthony Loke berkata insentif itu adalah hasil kerjasama dengan 10 syarikat insurans.
Katanya, insentif itu tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans serta pengendali takaful yang mengambil bahagian berdasarkan rekod pemanduan dan saman pengguna.
“Jika profil risiko (scoring) dinilai rendah, apabila mereka memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan memilih untuk memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ, satu proses penilaian risiko akan dijalankan.
“Pemilik kenderaan yang memenuhi kriteria akan diberikan diskaun atau rebat tambahan ke atas premium insurans mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program CERMAT MADANI, di sini, hari ini.
Loke berkata, kerajaan memberi tempoh tiga bulan sehingga 9 September depan kepada semua pengguna yang memperbaharui insurans menerusi MyJPJ untuk menikmati Rebat MADANI sebanyak 10 peratus.
“Dalam tempoh promosi ini, semua pengguna yang memperbaharui insurans melalui MyJPJ akan menerima rebat tambahan 10 peratus tanpa syarat.
“Bagaimanapun, ini bukan matlamat asal kita kerana kerajaan mahu ganjaran itu (kemudian) diberikan kepada pemandu yang benar-benar mempunyai rekod pemanduan baik dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata, bagi fasa seterusnya (selepas 10 September), pemberian Rebat MADANI 10 peratus akan ditentukan berdasarkan penilaian risiko pemandu, termasuk rekod saman aktif dan status senarai hitam yang disemak menerusi pangkalan data mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, sistem kecerdasan buatan (AI) akan digunakan bagi menilai rekod pengguna melalui integrasi data JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum syarikat insurans membuat keputusan mengenai kadar rebat yang layak diberikan.
“Kalau seseorang mempunyai banyak saman dan sering melanggar peraturan jalan raya tetapi tetap menerima ganjaran yang sama, ia tidak membawa makna kepada objektif kita untuk menggalakkan pemanduan berhemah.
“Selepas September nanti, syarikat insurans akan melihat skor risiko seseorang pemandu sebelum menentukan sama ada mereka layak menerima rebat tambahan atau premium yang lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini pemilik kenderaan tetap layak menikmati Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) maksimum 55 peratus dan menerusi skim CERMAT MADANI, mereka yang layak boleh memperoleh tambahan rebat sehingga 10 peratus.
Katanya, rebat tambahan itu hanya ditawarkan kepada pengguna yang memperbaharui insurans melalui aplikasi MyJPJ dengan syarikat insurans yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.
“Matlamat program ini bukan sahaja untuk mengurangkan kos premium insurans dan meringankan beban pengguna, tetapi juga menggalakkan budaya pemanduan yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Pada masa depan, pemandu yang mempunyai rekod baik bukan sahaja boleh menikmati diskaun tambahan, malah berpotensi membayar premium insurans yang lebih rendah berbanding pemandu berisiko tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Loke berkata pendekatan penetapan premium berasaskan risiko membolehkan maklumat seperti rekod kesalahan lalu lintas, tingkah laku pemanduan dan profil kenderaan digunakan bagi membantu syarikat insurans serta pengendali takaful membuat penilaian yang lebih tepat dan adil.
Beliau berkata, pelaksanaan CERMAT MADANI juga selari dengan langkah liberalisasi tarif insurans motor oleh Bank Negara Malaysia yang memberi ruang kepada syarikat insurans dan pengendali takaful menawarkan produk serta menetapkan premium berdasarkan penilaian risiko yang lebih terperinci.
“Pemandu yang mempunyai rekod pemanduan yang baik, mematuhi undang-undang dan menunjukkan tahap risiko yang lebih rendah sepatutnya berpeluang menikmati premium yang lebih kompetitif.
“Pemandu yang memandu secara selamat, berdisiplin dan bertanggungjawab perlu diberikan ganjaran yang bermakna kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mewujudkan insentif kepada masyarakat untuk membudayakan pemanduan yang lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata, CERMAT MADANI akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa permulaan memberi tumpuan kepada kerjasama antara kerajaan dan industri insurans serta takaful bagi membolehkan manfaat kepada pemandu berhemah diberikan secara lebih tersusun.
Katanya, inisiatif itu bukan sekadar pembaharuan dalam sistem insurans, sebaliknya satu intervensi keselamatan jalan raya yang menggunakan insentif ekonomi untuk menggalakkan perubahan tingkah laku pemanduan secara positif.
“Apabila pemanduan selamat diberi nilai dan pengiktirafan, kita mahu melihat lebih ramai pemandu mematuhi had laju, mematuhi isyarat lalu lintas, mengelakkan kesalahan berulang dan lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.-BH Online
