Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Standard Penjagaan Kebangsaan bagi warga emas dan orang kurang upaya kini berada di peringkat akhir pemuktamadan dan dijangka dilancarkan pada Oktober ini, sebagai langkah penting memperkukuh kualiti, keselamatan dan akauntabiliti perkhidmatan penjagaan di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran standard tersebut akan menjadi tonggak penting dalam mempercepat transformasi sektor penjagaan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi penjagaan sebagai sektor strategik negara.

Beliau menegaskan pembangunan ekonomi penjagaan tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor swasta, NGO, institusi pendidikan dan komuniti bagi membina ekosistem yang mampan.

“Ekonomi penjagaan tidak lagi boleh berada di pinggir perancangan negara dan perbincangan dasar ekonomi. Ia mesti diiktiraf sebagai pemangkin strategik yang menyokong penyertaan tenaga kerja, produktiviti, kesejahteraan sosial dan daya tahan negara untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ABAC Malaysia Care Economy Roundtable 2026 di di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekonomi penjagaan kini perlu diiktiraf sebagai sektor strategik baharu negara yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah berupaya meningkatkan penyertaan tenaga kerja serta memperkukuh daya tahan Malaysia dalam menghadapi cabaran masyarakat menua.

Beliau berkata ekonomi penjagaan tidak lagi wajar dilihat sebagai isu kebajikan semata-mata, sebaliknya merupakan komponen penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Menurut beliau, masih ramai yang menganggap kerja penjagaan sebagai tanggungjawab keluarga tanpa nilai ekonomi, sedangkan sektor itu sebenarnya menyumbang besar kepada kesejahteraan masyarakat serta produktiviti negara.

“Ramai orang tidak melihat potensi ekonomi penjagaan. Kita bukan hanya melihatnya dari sudut pendapatan, tetapi bagaimana negara perlu bersedia dengan sumber dan sistem penjagaan yang lebih baik untuk masa depan,” katanya 

Nancy berkata Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2050 apabila 15.3 peratus penduduk terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan penjagaan jangka panjang.

Beliau berkata ketika ini sebahagian besar kerja penjagaan masih ditanggung keluarga dan dilakukan tanpa bayaran, menyebabkan ia kurang diiktiraf walaupun mempunyai nilai ekonomi yang besar.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kajian Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganggarkan nilai kerja penjagaan dan kerja domestik tanpa bayaran di negara ini mencecah RM379 bilion setahun, dengan kira-kira 3.2 juta rakyat Malaysia, majoritinya wanita, terhad untuk menyertai pasaran pekerjaan akibat tanggungjawab penjagaan.

Menurutnya, pelaburan dalam ekonomi penjagaan mampu memberi pulangan besar kepada negara, termasuk potensi sumbangan sekitar RM77 bilion setahun atau lima peratus KDNK, sekiranya sistem penjagaan lebih mudah diakses dan berkualiti.

Bagi memperkukuh sektor itu, kerajaan telah melaksanakan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 yang memberi fokus kepada tadbir urus, profesionalisasi tenaga kerja, pembangunan bakat, penyelidikan, teknologi dan sistem data.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memperluaskan Program TVET Penjagaan (MTVET) dengan sasaran kira-kira 2,000 peserta tahun ini bagi melahirkan lebih ramai penjaga profesional dan berkemahiran.-Astro Awani