Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-18 dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan akhir berhubung pengagihan kerusi antara parti komponen gabungan itu kini di peringkat akhir dengan proses pemilihan calon yang akan mewakili BN di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut sedang diperhalusi.

“Pembahagian kerusi hampir dimuktamadkan dan calon daripada parti-parti komponen BN akan saya rundingkan semasa berada di Johor ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Johor di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, rundingan dijalankan mengambil kira kekuatan setiap parti komponen selain memastikan BN tampil dengan barisan calon terbaik bagi menghadapi pertandingan di semua kawasan DUN.

Katanya, keputusan bakal diumumkan nanti diharap dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan berkenaan.

BN Johor mengumumkan akan bertanding solo di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.-BH Online